Pages

Wednesday 27 July 2016

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA 1900- 1956


            Sistem pendidikan di Malaysia sememangnya telah lama wujud di Negara ini,  hatta pada zaman kesultanan Melayu Melaka sekalipun terdapat sistem pendidikan yang sedia wujud selaras dengan perkembangan semasa pada ketika itu, misalnya pembelajaran pada ketika itu lebih tertumpu kepada pendidikan Islam yang berjalan di rumah-rumah guru, madrasah dan juga pondok-pondok. Apabila Portugis menawan  Melaka pada tahun 1511, mereka telah memperkenalkan sistem pendidikan berasaskan mazhab Roman katolik, namun ianya bertukar kepada mazhab protestan apabila Melaka jatuh ke tangan Belanda.Pada tahun 1786 sistem tersebut bertukar semula kepada pendidikan Inggeris  yang berlangsung dalam tempoh masa yang begitu lama iaitu daripada 1786 hingga 1956.( Choong Leong Keow, 2007)


            Apabila kita membicarakan perkembangan pendidikan di Malaysia pada sekitar tahun 1900, sudah pasti ianya melibatkan aspek yang sangat besar kerana ianya melibatkan pelbagai aspek pendidikan merangkumi pendidikan rendah, pendidikan menengah, latihan perguruan, pendidikan vokasional dan teknik serta pendidikan tinggi.Sistem pendidikan di Malaysia sebelum merdeka menunjukkan bahawa pendidikan adalah pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang diperkenalkan oleh pentadbiran British pada abad ke 19, iaitu pada peringkat permulaannya, di Negeri-negeri Selat. Pada awalnya , pihak British memberi keutamaan kepada pelajaran Melayu dan Inggeris. Blundell (Gabenor negeri Selat) telah mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-sekolah Vernakular Melayu di negeri-negeri Selat dengan bantuan kerajaan British. Hasilnya, Blundell dengan bantuan kewangan daripada DYMM Temenggung Johor telah menubuhkan dua buah sekolah Vernakular Melayu di Singapura pada tahun 1856. Rentetan daripada itu, bermula daripada tahun 1858 hingga 1863 kerajaan British telah menubuhkan beberapa buah sekolah Melayu di Pulau Pinang dan Melaka . (Sufean Hussin,1993)

Dari sudut matapelajaran yang diajar pula, mata pelajaran yang biasa diguna pakai di sekolah vernakular melayu adalah seperti, Bacaan, Mengarang, Ejaan, Menulis, Ilmu Hisab, Latihan Jasmani dan Ilmu Alam.Pada awal kurun ke-20, mata pelajaran Perkebunan dan Anyaman telah ditambah ke dalam kurikulum sekolah. Selepas itu, hanya sebilangan kecil pelajar sahaja yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Special Malay Class, di mana mereka dapat meneruskan persekolahan di sekolah Inggeris kelak.Pendidikan Cina dan Tamil dibiarkan berkembang secara sendirian berasaskan kaum dimana ketiga-tiga kaum utama di  negara ini mempunyai sistem pendidikan tersendiri yan berbeza antara satu sama lain. Sekolah Vernakular Cina yang pertama telah didirikan oleh Persatuan Mubaligh London di negeri Melaka pada tahun 1815, dan kemudiannya di Singapura pada tahun 1819. Pada tahun 1900, dua orang menteri dan pendidik dari negeri China, Kang You Wei dan Liang Qi Chau telah mendirikan sekolah Vernakular Cina dan menggabungkan pengajaran Confucious dengan pengajaran sains Barat. Dalam pada itu, sesetengah sekolah  cina dijadikan sebagai tempat asuhan bagi memupuk kesedaran kebangsaan pemuda-pemuda cina, selain itu mereka juga menggunakan bahasa cina sebagai bahasa pengantar bahkan turut mengimport guru khas dari Negara China dan buku-buku teks juga dibawa masuk dari Negara China yang menjadikan pemikiran mereka berkiblatkan pemikiran Negara China.(   Shahril @ Charil Marzuki, 1993)


Manakala sekolah Tamil yang wujud pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang utama.Sekolah-sekolah Tamil yang wujud terletak di kawasan ladang-ladang getah, kelapa sawit, kopi dan gula kerana  majoriti daripada pekerja-pekerja ladang didatangkan daripada negara India untuk bekerja di ladang-ladang. Sebahagian besar ladang dibiayai oleh syarikat-syarikat yang mengelola ladang tersebut. Sehingga tahun 1938, terdapat 13 buah sekolah Tamil kerajaan, 511 buah sekolah estet, 23 buah sekolah mubaligh dan 60 buah sekolah Tamil swasta di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Pendidikan yang diberikan di sekolah Vernakular Tamil adalah terhad pada peringkat rendah seperti apa yang berlaku di  sekolah vernakular Melayu . Kurikulum sekolah-sekolah Tamil berorientasikan negara asal mereka, India Manakala buku-buku dan tenaga pengajar dibawa dari Sri Lanka dan India.Sungguhpun demikian, keadaan sekolah Tamil ini tidak pernah setanding dengan sekolah-sekolah Cina, Melayu atau Inggeris. (Sufean Hussin, 1993)

Bagi sekolah Inggeris pula, ianya mula diperkenalkan oleh  para mubaligh Kristian. Penubuhan Penang Free School pada tahun 1816 misalnya adalah bermatlamatkan seperti berikut:
·         Untuk semua bangsa.
·         Murid dididik supaya berdisiplin, berkelakuan baik dan rajin;
·         Yuran secara berpatutan untuk ibu bapa yang berkemampuan.
·         Semua murid akan diajar membaca dan menulis Bahasa Inggeris dan mempelajari Ilmu Kira-kira.
·         Bahasa melayu untuk murid Melayu
·         Diajar tentang pekerjaan seperti pertukangan menjahit dan lain-lain;
·         Murid diajar supaya menghormati ibu bapa dan agama Kristian.
Lanjutan daripada penubuhan Penang Free School telah menyebabkan tertubuhnya lebih banyak sekolah-sekolah Inggeris seperti; Melaka Free School, Victoria Insitute pada tahun 1893, Sekolah King Edward VII di Taiping pada tahun 1906. Pada awal kurun ke-20, semua Free School telah diambil alih oleh kerajaan. Pada tahun 1905 pula, sebuah sekolah Melayu iaitu Malay College Kuala Kangsar ditubuhkan khas untuk anak-anak bangsawan Melayu.(Sufean Hussin,1993)

Penaklukan Jepun terhadap Tanah Melayu pada tahun 1941 sehingga tahun 1945 menyebabkan  kebanyakan sekolah diajar dalam bahasa Jepun.Namun selepas kekalahan pihak Jepun ke atas pihak Inggeris, kurikulum asal telah diaplikasikan semula. Walau bagaimanapun, beberapa laporan cadangan terhadap kurikulum baru telah digubal. Laporan-laporan yang dimaksudkan ialah Laporan Barnes 1951, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran, Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Laporan Razak 1956.Di antara cadangan yang telah dikemukakan ialah menuntut kerajaan supaya menyediakan kemudahan-kemudahan pelajaran dan pembelajaran serta menyediakan guru-guru terlatih di sekolah-sekolah. Guru-guru ini merangkumi mereka yang mempunyai rekod penilaian yang baik serta mempunyai etika pengajaran yang boleh dicontohi oleh para pelajar. (Choong Leong Keow, 2007)

Justeru, apa yang dicatatkan diatas adalah merupakan sistem persekolahan yang telah diamalkan pada suatu ketika dahulu. Yang pastinya  kepelbagaian dan ketidaksamaan  laras pendidikan ini menyumbang kepada masalah perpaduan dalam negara. Perbezaan yang wujud bukan sekadar bahasa pengantar sahaja malah turut membabitkan sukatan pelajaran yang tidak sekata antara sekolah-sekolah yang wujud pada masa itu dan telah menerbitkan bibit-bibit perpecahan terhadan masyarakat di Negara ini sehingga menyumbang kepada tragedi 13 Mei 1969. Apa yang jelas, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik –  berpelajaran Inggeris dan berpelajaran vernakular.


No comments:

Post a Comment