Pages

Tuesday 4 September 2012

ISU 4- TIADA KOMPROMI GURU BESAR RASUAH


1.0 PENGENALAN
Rasuah adalah merupakan suatu perbuatan keji yang lebih  banyak mendatangkan mudarat daripada manfaat. Ianya adalah merupakan antara penyebab kemunduran sesebuah negara. Berdasarkan Indeks Korupsi yang dikeluarkan oleh Tranperancy International, Malaysia berada di tangga ke 60 daripada 183 buah negara  dengan skor sebanyak 4.3 berbanding Singapura yang menduduki tempat kelima dengan skor sebanyak 9.2. Berdasarkan unjuran yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) penjawat awam merupakan kalangan golongan tertinggi yang terlibat di dalam gejala rasuah. Gejala rasuah juga berlaku dalam profesion perguruan di Malaysia.  Masalah  yang berlaku ini mencemarkan profesion yang mulia ini. Walaupun jumlah kes yang dilaporkan mengenai kesalahan rasuah dalam kalangan guru tidaklah seramai pesalah daripada profesion lain tetapi oleh sebab jumlah yang sedikit itulah yang telah menyebabkan profesion perguruan terpalit dengan noda-noda yang sedikit ini.
Umum mengetahui, apabila ada sesebuah isu mengenai profesion perguruan maka ianya akan diheboh dan dibesarkan oleh media massa. Seolahnya apabila kesalahan tersebut dilakukan oleh orang lain selain daripada guru ianya “tidak mengapa”  dan tidak dihebohkan  sepertimana kesalahan yang dilakukan oleh guru. Oleh itu, perkara sebegini akan menjatuhkan “air muka” profesion perguruan yang sekian lama dilihat sebagai profesion yang mulia.
Memerangai rasuah memerlukan penglibatan semua pihak, Memetik kenyataan Tan Sri Azmi Kamaruddin  ( mantan hakim wilayah persekutuan) di dalam buku Abdullah Ahmad Badawi Tiga Tahun Di Putrajaya, beliau mengatakan :
rakyat tidak boleh lagi  pejam sebelah mata dalam hal rasuah ini. Setiap orang harus mulai hari ini mengambil pendirian untuk bersama sama menyelesaikannya, tidak boleh lagi duduk di tepi pagar hanya melihat dari luar sahaja”.
Oleh itu, seorang guru yang bijak akan menghindari rasuah dan berusaha menghalang orang lain dari terlibat dengan gejala tersebut. Maka penulisan ini akan mengupas sedikit sebanyak beberapa perkara yang menyentuh isu rasuah di dalam perkhidmatan perguruan dan menyentuh mengenai akta-akta yang berkaitan dengan rasuah untuk panduan kita bersama.

1.1 DEFINISI RASUAH
Terdapat pelbagai definisi yang boleh dirujuk mengenai rasuah . Menurut kamus Dewan Edisi Keempat,rasuah ialah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap) ataupun (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap). Manakala sogokan pula didefiniskan sebagai; menerima wang rasuah atau makan suap. Selain itu menurut Tranparency International,  rasuah adalah perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai yang secara tidak wajar dan tidak sah menurut undang-undang.
Akta Pencegahan Rasuah 1961( Pindaan 1971)  seksyen 3 dan 4 mendefinisikan rasuah sebagai:
menerima apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau tidak melakukan apa-apa perbuatan.
Mengikut seksyen 2 (2) ordinan No 222 (kuasa-kuasa perlu) Darurat 1970 mendefinisikan rasuah sebagai  berikut;
Apa-apa perbuatan yang dilakukan oleh anggota-anggota pentadbiran.Ahli Perlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri atau mana-mana pegawai awam iaitu dengan perbuatan itu menggunakan kedudukan dan jawatannya untuk faedah kewangan atau untuk apa-apa faedah yang lain.
1.2 RASUAH MENURUT PANDANGAN ISLAM
Firman Allah swt;
Ÿwur (#þqè=ä.ù's? Nä3s9ºuqøBr& Nä3oY÷t/ È@ÏÜ»t6ø9$$Î/ (#qä9ôè?ur !$ygÎ/ n<Î) ÏQ$¤6çtø:$# (#qè=à2ù'tGÏ9 $Z)ƒÌsù ô`ÏiB ÉAºuqøBr& Ĩ$¨Y9$# ÉOøOM}$$Î/ óOçFRr&ur tbqßJn=÷ès? ÇÊÑÑÈ  
“ dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu Dengan jalan Yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia Dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.
Dr Wahbah Az-Zuhaili  dalam menafsirkan ayat ini di dalam tafsir Al Munir, beliau menyatakan Allah melarang manusia memakan harta dengan cara yang tidak benar. dan  menafsirkan  بالبطل    ( dengan cara yang salah ) sebagai riba’ , rasuah, menipu dalam perniagaan dan sebagainya. Selain itu disebutkan  juga  dialam tafsir tersebut bahawa; “ telah sepakat Ahli Sunnah bahawa haram bagi seseorang mengambil harta dengan cara yang salah  secara sedikit mahupun banyak”.

 Imam Az-zahabi menyatakan maksud daripada kalimah “janganlah pula kamu menghulurkan harta kamu kepada hakim”  adalah janganlah kamu menyuap atau menyogok hakim sehingga kamu memenangi sesuatu perkara padahal kamu  mengerti bahawa  hasil keputusan itu tidak halal bagi kamu”
Perbuatan rasuah adalah merupakan perbuatan yang sangat keji dan berdosa, mereka yang terjebak dengan budaya rasuah akan beroleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka.
Disebutkan didalam sebuah hadis  yang bermaksud ;
            “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”
Dr Yusuf Al Qardhawi (1995) menyebutkan Nabi s.a.w telah melaknat pemakan, pemberi rasuah dan orang tengah. Mereka dilaknati oleh Nabi s.a.w Rasuah yang merosakkan semuanya, menjadikan semuanya tidak dapat disempurnakan kecuali dengan menolaknya. Maka, berdasarkan dalil-dalil diatas  jelas membuktikan  Islam melarang perbuatan rasuah. Tegahan yang diberikan bukan sahaja termaktub kepada pemberi dan penerimanya sahaja malah turut kepada sesiapa yang membantu di dalam usaha melicinkan urusan tersebut.

1.3 PANDANGAN TOKOH MENGENAI RASUAH
Manusia yang bijak adalah menusia yang menjauhi perbuatan yang keji dan bersalahan dengan norma-norma kehidupan manusia. Tidak terdapat mana-mana tokoh yang bijak mindanya yang menyokong gejala rasuah Berikut pula adalah beberapa pandangan tokoh-tokoh mengenai gejala rasuah.
Memetik kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Mei 2011, beliau  menyatakan, persoalan rasuah tidak hanya berlegar dalam kalangan penguasa sebaliknya turut melibatkan pemberi dan penerima rasuah.Seperti kata bidalan  bertepuk sebelah tangan  masakan berbunyi, kedua-duanya sanggup melakukan rasuah kerana  kuasa yang dimiliki dan kelahapan mereka  untuk menerima habuan akibat penyalahgunaan kuasa.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden  di perhimpunan Umno kali ke 57 pada15 september 2007 menegaskan bahawa “saya cekal mahu membanteras rasuah dan politik wang. Berulang kali saya ingatkan bahawa kita mesti menetang rasuah di segenap peringkat kerajaan . Namun Presiden parti & perdana menteri tidak dapat melaksanakan usaha ini secara berseorangan, bantulah saya memerangi rasuah dengan mengemukakan bukti, kita kekal tegas memerangi rasuah walaupun kita perlu menongkah arus.Patah sayap bertongkat paruh namun hasrat tak pernah luntur”.
Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam ucapannya ketika merasmikan Program Pegawai Intergriti Bertauliah pada 27 Februari 2012 menyebut bahawa ” Kerajaan akan terus memerangi rasuah sebagai musuh No 1 negara dan kita akan bersama-sama memeranginya habis-habisan Rasuah memusnahkan niat murni kerajaan membantu rakyat dan menggagalkan pelaksanaan dasar yang telah dirancang rapi, justeru demi rakyat dan masa depan Negara, kita tidak boleh berkompromi dalam membasmi rasuah.Ini menjadi kewajipan kita yang berada di dalam kerajaan dan perkhidmatan awam.
Maka, berdasarkan pandangan daripada tokoh-tokoh negarawan diatas dapatlah kita katakana bahawasanya rasuah adalah amalan yang keji yang mendatangkan pelbagai mudarat kepada rakyat dan Negara dan ianya sewajarnya tidak sama sekali terjadi dalam kalangan penjawat awam di Negara ini terutamanya kepada para guru-guru  di sekolah.



2.0 GURU DAN RASUAH
Ramai yang  terkejut apabila mengetahui berita-berita mengenai penglibatan guru dalam gejala rasuah. Masyarakat secara umumnya melihat guru sebagai golongan yang mulia yang bebas daripada perlakuan-perlakuan yang tidak baik. Namun terdapat juga guru-guru yang terlibat dalam gejala rasuah sebagaimana kes-kes yang pernah dilaporkan di dalam akhbar tempatan mahupun di dalam rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Berikut adalah antara kes-kes yang pernah berlaku;
Pertama, kes yang melibatkan seorang guru besar di sebuah sekolah di Kajang, Selangor. Beliau telah meminta suapan daripada pengusaha kantin untuk memudahkan urusan pemilihan tender kantin. Kes ini telah dilaporkan di dalam akhbar sinar harian yang bertarikh 17 Nov 2011.
Kes kedua adalah sepertimana yang terdapat di dalam pengkalan data SPRM  dengan no kes R-06B-38-06-2011 yang melibatkan seorang guru lelaki yang berkhidmat di negeri Perlis. Tertuduh telah disabitkan dengan 3 pertuduhan rasuah dan telah disabitkan bersalah dengan dikenakan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan tersebut.


2.1 KENAPA BERLAKU RASUAH DALAM KALANGAN GURU
Berdasarkan artikel yang telah dipilih, kes tersebut adalah kes yang berlaku melibatkan seorang guru besar di sebuah sekolah di Kajang yang meminta suapan daripada pengusaha kantin bagi meluluskan tender kantin tersebut.Persoalannya mengapakah ada terdapat kalangan guru yang terlibat di dalam jenayah ini? Berikut adalah antara sebab-sebab yang menyumbang kepada keterlibatan guru khususnya dan penjawat awam umumnya di dalam gejala rasuah.
Pertamanya ianya adalah berpunca daripada perbelanjaan melebihi pendapatan yang diperoleh. Terdapat sesetengah penjawat awam yang melakukan perbelanjaan melebihi pendapatan yang diperolehi  menyebabkan tekanan hidup dan berusaha mencari jalan keluar bagi masalah kewangan yang dihadapi .Ibnu Khaldun (Terjemahan Ahmadie Toha 1986) menyatakan, keinginan untuk  mengecap kemewahan mendorong manusia untuk terlibat dengan amalan rasuah. Selain itu,  Jutawan Internet, Dr Irfan Khairi menyatakan “Konsep untuk tidak terjerumus dalam masalah kewangan sememangnya mudah. Iaitu, jangan biarkan perbelanjaan lebih daripada pendapatan”. Muhammad Hisyam (2006) menyatakan, sering kali ketidakcukupan pendapatan untuk menyara kehidupan, menyebabkan ada kakitangan kerajaan terpaksa membuat beberapa pekerjaan lain dalam satu masa bagi memenuhi tuntutan keperluan harian mereka. Ini sebenarnya boleh mengakibatkan tumpuan kepada tugas hakiki mereka terabai atau gagal untuk dilaksanakan dengan sempurna.
Selain itu, kos sara hidup yang tinggi juga turut menyumbang kepada berlakunya gejala rasuah ini. Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam ucapan beliau di World Ethics and Integrity Forum 2005 anjuran Institut Integriti Malaysia ada menyatakan bahawa unsur yang terpenting untuk memerangi rasuah di kalangan penjawat awam ialah menerusi gaji yang selaras dengan taraf kehidupan mereka. Jika dibayar gaji yang rendah berbanding rakan-rakan mereka di sektor swasta, para penjawat awam ini mempunyai kecenderungan untuk menerima pemberian atau suapan. Untuk itu, sejak 40 tahun yang lepas, kerajaan Singapura telah mengambil langkah membayar gaji ahli politik dan penjawat awam yang lain pada kadar 70- 80 peratus gaji purata 6 bidang kerjaya kakitangan yang berjawatan setaraf di sektor swasta . Menurut Muhammad Hisyam (2006), Dalam usaha untuk memastikan para pegawai agar tidak terjebak dengan amalan rasuah, Khalifah Umar (r.a) memerintahkan agar mereka diberi gaji yang tinggi. Begitu juga dengan para qadi. Mereka diberi gaji yang sangat berpatutan supaya tiada ruang bagi mereka untuk menerima atau melakukan rasuah. Qadi seperti Salman, Rabi'ah dan Shuraih (r.a) diberi gaji sebanyak 500 dirham sebulan. Mua'wiyah (r.a) pula menerima 1000 dirham sebulan.
Seterusnya,  beban hutang juga merupakan antara punca berlakunya gejala rasuah. Hal ini dibuktikan dengan Laporan Pelan Integriti Nasional dalam skop Penilaian dan Hala Tuju (Tekad 2008)  mendedahkan hampir 74 peratus kakitangan awam yang cenderung menerima suapan berpunca daripada terlalu banyak beban hutang dan gagal mengawal perasaan kerana mempunyai lebih ruang serta peluang melakukannya.Laporan itu juga menyatakan amalan rasuah berleluasa di kalangan penjawat awam kerana ramai masih keliru dengan skop perbuatan yang dianggap rasuah atau sebaliknya.
Selain itu, kelemahan dalam pentadbiran juga adalah merupakan punca berlakunya gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam. Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendedahkan mengenai sistem penyeliaan yang lemah, penyelenggaraan yang tidak dilakukan secara tetap dan berkala, pemantauan dan penelitian terhadap pelbagai aspek kerja yang dijalankan tetapi gagal dilakukan oleh sesetengah ketua jabatan atau mereka yang dipertanggungjawabkan, misalnya pembelian satu komputer riba dengan harga RM42,32. Norhafifi Yahya (2006) menyatakan, Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah. Muhammad Ali Embi (2008) menyatakan, faktor-faktor organisasi yang menggalakkan rasuah pula adalah termasuk kepimpinan yang lemah, kurang mekanisme pemantauan, tiadanya ketelusan, kurangnya maklumat dan garis panduan yang terperinci mengenai bidang tugas dan tiada saluran untuk menyalurkan aktiviti rasuah.

3.0 MENGATASI RASUAH DALAM KALANGAN GURU
Pemantauan dan kepimpinan Berkesan Ketua Jabatan dilihat mampu mengurangkan berlakunya kes rasuah dalam kalangan guru. Guru besar atau pengetua sebagai ketua jabatan di sekolah seharusnya lebih cakna terhadap tingkahlaku anak buah masing-masing. Sebagaimana yang terkandung di dalam perintah Am Bab D , seseorang penjawat awam boleh diambil tindakan jika sekiranya didapati bersalah oleh pihak berkuasa tatatertib.
Selain itu antara saranan lain untuk mengatasi gejala ini adalah dengan berbelanja mengikut kemampuan. Ramai dalam kalangan golongan yang terlibat adalah dalam kalangan kakitangan kerajaan di peringkat profesional dan sokongan yang rata-rata adalah terdiri daripada kalangan golongan yang berpendapatan sederhana. Keupayaan setiap penjawat awam khususnya para guru mengurus kewangan mengikut pendapatan yang diperolehi mampu mengelakkan gejala ini daripada berlaku. Presiden  Cuepacs, Omar Osman dalam wawancara bersama berita harian bertarikh 10/10/2010 menyatakan, rasuah berlaku dimana sahaja, punca utamanya keinginan berbelanja melebihi kemampuan, pendapatan kecil tetapi berlagak seperti orang mampu, apabila tidak mapu dan tidak boleh kawal nafsu, mula lupa diri dan bertindak di bawah kawalan akal, pada masa itu timbul peluang kerana kita tahu sindiket rasuah sentiasa menunggu peluang terbuka.
Antara kaedah lain yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini adalah dengan melaporkan mengenai penyelewengan yang dilakukan, jika sekiranya ianya melibatkan sesiapa sekalipun  sewajarnya sebagai seorang guru dan penjawat awam yang bertanggungjawab setiap penyelewengan yang berlaku mestilah dilaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil. Kebanyakan daripada penjawat awam takut untuk melaporkan penyelewengan yang berlaku, namun tiada apa yang perlu dirisaukan kerana setiap individu yang melaporkan kes  rasuah akan dilindungi di bawah Akta 711 iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Di dalam suatu klausa yang terdapat di dalam akta ini ada menyebutkan bahawa akta ini adalah; suatu Akta untuk memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan dan memudahkan pendedahan kelakuan tidak wajar dalam sektor awam dan swasta, untuk melindungi orang yang membuat pendedahan itu daripada tindakan yang memudaratkan. Oleh itu sewajarnya tidak lagi menjadi kerisauan untuk melaporkan kes-kes  rasuah kepada pihak berkuasa.

3.1 KESAN KEPADA GURU YANG TERLIBAT.
Berdasarkan Akta 694, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Mana-mana individu yang terlibat dengan sebarang pertuduhan rasuah dan disabitkan bersalah boleh dihukum denda tidak melebihi sepuluh ribu dan penjara tidak melebihi 2 tahun atau keduanya-duanya sekali.
Selain dikenakan tindakan mahkamah seorang guru yang terlibat dalam mana-mana prosiding jenayah dan disabitkan sebagai bersalah juga akan menerima tindakan tatatertib daripada pihak berkuasa tatatertib berdasarkan apa yang termaktub di dalam perintah Am bab D. Menurut Perintah Am Bab D, Peraturan 45 telah menetapkan bahawa ;       
“Jika pegawai disabitkan oleh Mahkamah, pihak berkuasa tatatertib yang berkuasa untuk mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat hendaklah sama ada atau tidak pegawai itu merayu terhadap sabitan itu, menggantung pegawai itu daripada menejalankan tugasnya berkuatkuasa mula dari tarikh sebitanya sementara menunggu keputusan Pihak Berkuasa Tatatertib di bawah Peraturan 29 Pegawai tidak berhak menerima apa-apa emolumen sepanjang penggantungan kerja”.
Selain itu, di bawah peraturan yang sama juga, penamatan daripada perkhidmatan awam juga boleh dilakukan terhadap mana-mana kakitangan awam yang terlibat dalam mana-mana kes yang dilihat wajar demi kepentingan awam. Dalam hal ini, ketua jabatan hendaklah mengemukakan laporan lengkap yang menyentuh mengenai kelakuan pegawai yang terlibat untuk dikemukakan kepada kerajaan. Seterusnya, adalah sah disisi undang-undang bagi Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan bahawa perkhidmatan seseorang pegawai itu di tamatkan demi  kepentingan awam walaupun prosiding tatatertib belum dijalankan di bawah mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini.
Maka sebagai seorang guru yang juga merupakan  penjawat awam, sentiasalah berusaha mengawal diri daripada terlibat dengan apa jua kesalahan tatatertib yang boleh mengakibatkan tindakan tegas daripada kerajaan. Jangan disebabkan keseronokan yang sekejap, kita merana seumur hidup akibat tindakan-tindakan yang menyalahi undang-undang negara dan etika keguruan.




4.0 CADANGAN DAN RUMUSAN
Seorang guru yang baik haruslah sentiasa mempunyai intergriti dalam menjalankan tugas seharian. Tidak kira walaupun disogok dengan apa sekalipun, hendaklah seorang guru dan penjawat awam yang berintergriti sentiasa teguh dengan pendirian dan tidak terpedaya dengan habuan yang hanya memberikan keseronokan sementara. Kerana sabda Rasulullah s.a.w ;

Kebaikan itu menenangkan jiwa, sementara kejahatan itu keraguan dalam jantung hati, teragak-agak di dada sekalipun manusia manusia memberikan fatwa kepadamu (ianya baik).
HR Ahmad & Ad-darimi

Maka jadikanlah intergriti sebagai amalan hidup, supaya setiap daripada rezeki yang kita perolehi datang daripada sumber yang baik dan tidak memudaratkan.

Selain itu, sebagai penjawat awam dan rakyat yang cintakan negara seharusnya kita mengutamakan kepentingan negara melebihi kepentingan diri sendiri, mahukah kita melihat negara kita hancur dengan malan rasuah? Lihat sahaja negara yang tinggi indeks rasuah seperti Afghanistan dan Somalia, adakah kita mahu negara kita mundur kerana rasuah yang berleluasa di sana-sini? Negara telah kerugian berbillion ringgit setiap tahun akibat gejala rasuah ini, pada tahun 2010 sahaja, Malaysia telah mengalami kerugian sebanyak 10 billion, jika dilihat daripada RM 1 billon sahaja kita sudah boleh membina 99 buah sekolah rendah. Bayangkan betapa besarnya kerugian yang ditanggung negara akibat gejala rasuah ini.

Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia harus bersatu padu dan berganding bahu dalam memerangi gejala rasuah ini, setiap pihak di setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab yang baik. Sebagai seorang guru, seharusnya kita memainkan peranan dengan menyampaikan pendidikan mengenai keburukan amalan rasuah dan berusaha menjauhi gejala tersebut serta menjadi role model kepada masyarakat. Hal ini terkandung di dalam Surat pekeliling Ikhtisas  bilangan 17 tahun 1997 yang menggesa kepada guru untuk memasukkan elemen pencegahan rasuah di dalam sukatan pelajaran dan menyarankan kepada para guru untuk menjadi role model yang baik bagi diikuti oleh pelajar. Sangat tidak wajar bagi seorang guru untuk terlibat di dalam amalan rasuah kerana guru adalah harapan bagi masyarakat, guru adalah golongan yang dipercayai oleh masyarakat dan guru adalah rujukan masyarakat.
Jika sekiranya seorang guru menunjukkan tauladan yang tidak baik, ianya akan menjejaskan sistem kepercayaan orang ramai terhadap nilai dan kualiti guru yang ada di negara kita ini. Maka para guru harus membina imej yang baik dalam masyarakat dan memastikan profesion perguruan tidak lagi tercemar dengan tindakan yang dilakukan oleh guru sendiri.

MUHAMMAD KHAIRUL ANWAR BIN ISHAK
8 PISMP PA 2


6.0 BIBLIOGRAFI.
Abdullah Ahmad Badawi, t. t. (2007). Sivamurugan Pandian. Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Ahmadie Thoha.(1986). Mukaddimah Ibn Khaldun. Jakarta: Pustaka Firdaus.

Ahmad Redzuan Yunus,. (2003). Gejala Sosial Dalam Masyarakat Islam Punca dan Penyelesaian. Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Akta 711 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat. (2010). Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Sdn Bhd.

Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. (2009). Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Sdn Bhd.

Akta Pencegahan Rasuah. (1961).Kuala Lumpur. Percetakan Nasional Sdn Bhd.

 Aziz Jamaluddin.(2011). Nabi Muhammad Laknat Pemberi dan penerima Rasuah. Kuala Lumlpur: Utusan Malaysia.

Dr Yusuf Al-Qardhawi. (1995). Fatwa Masa Kini. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.

Dr Wahbah Az-Zuhaili. (2005). Tafsir Al-Munir. Damsyik: Dar Fikr

 Imam Az-Zahabi. (2008). Dosa-Dosa Besar. Puchong: Berlian Publications Sdn bhd

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Laporan Audit Negara 2008. (2009). Kuala Lumpur: Jabatan Audit Negara.

Muhammad Ali Embi.(2008). Cabaran Dunia Pekerjaan. Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Perintah-Perintah Am & Arahan Pentadbiran. (2003). Petaling Jaya: International Law Book Services.

Ordinan Darurat.( 1970). Kuala Lumpur.Percetakan Nasional Sdn Bhd.

Laporan Pelan Integriti Nasional.(2008).Kuala lumpur. Institut Intergriti Malaysia.

Lee Kwan Yew ( April 2005). Ethical Leadership A Competitive Advantage. Ucapan yang disampaikan dalam World Ethics And Intergrity Forum 2005.Kuala Lumpur

Najib tun Razak( Februaru 2012). Pegawai Intergriti Bertauliah. Ucapan Yang disampaikan dalam  Majlis Perasmian pegawai Intergriti Bertauliah.Putrajaya.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 17/1998. Memasukkan Elemen Pencegahan Rasuah dalam kurikulum sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi.

Surat Khabar;

 Abdul Rashid Abdul Rahman (2011). Rasuah, Malaysia Rugi 10 billion.Utusan Malaysia

 Muhammad Hisyam ( 2006, Disember 12 ). Gaji Berpadanan Dapat Membenteras Rasuah.Berita Harian

Saifulizam Mohamad ( 2011, Mei 6) Elak Rasuah Salah Guna Kuasa. Utusan Malaysia

 Omar Osman (2010). Rasuah, Salah Guna Kuasa Runtuhkan Moral Negara. Berita Harian.

Laman Sesawang

Norhafifi Yahya (2006).Gejala Rasuah dan Kesannya. Islam.gov.my. Diakses pada 23 Ogos 2012

www.transparency.org.my  diakses pada 23 Ogos 2012