Pages

Wednesday 27 July 2016

ANALISIS 'IS KEVIN BLUFFING'

MODEL-MODEL BERKAITAN
Terdapat beberapa model yang yang perlu diketahui bagi menyelesaikan masalah yang dibincangkan ini, antaranya adalah dengan menggunakan Teknik Modifikasi Tingkah Laku Skinner, Teori Psikologi Individu Alder dan juga Teori Realiti dan Kaunseling Glasser.
Teori Modifikasi Tingkah Laku diasaskan oleh Skinner menekankan bahawa sesuatu gerak balas atau tingkah laku yang dihasilkan adalah memuaskan, peluang untuk mengulang tingkah laku operan ini akan bertambah. Dalam hal ini terdapat dua aspek yang dikenali sebagai peneguhan positif dan juga peneguhan negatif. Peneguhan positif adalah suatu tindakan berbentuk pujian, penghargaan , hadiah dan sebagainya yang diberikan sebaik sahaja sesuatu tingkah laku operan berlaku. Peneguhan positif adalah berfungsi sebagai ganjaran yang mendorongkan individu itu mengulangi tingkah laku tersebut sebanyak yang mungkin.Manakala peneguhan negatif pula adalah stimuli yang dihapuskan bagi menguatkan tingkah laku positif seseorang. Contohnya seorang murid yang membuat bising di dalam kelas dikenakan hukuman berdiri  di hadapan kelas dalam tempoh masa yang tertentu.
Selain itu Skinner juga menekankan konsep denda dan peneguhan. Denda  bertujuan untuk serta merta menghentikan tingkah laku yang tidak diingini.manakala peneguhan pula adalah untuk menambahkan kebarangkalian supaya sesuatu tingkah laku itu berulang pada masa akan datang. Seterusnya, skinner juga memperkenalkan konsep “reverse psychology” iaitu dengan menggunakan psikologi untuk mengubah tingkah laku murid. Ianya bertujuan untuk  menginsafkan pelajar supaya membuang sikap yang negatif dan memupuk sikap yang positif.
Seterusnya , Alder pula memperkenalkan Terapi Adler yang berdasarkan kepada teori psikologi Individu yang mengamalkan pendekatan holistic-sosioelogikal. Terdapat 12 peringkat didalam terapi Adler iaitu, hubungan empati, maklumat, penjelasan, memberi galakan, interpretasi dan penerimaan, pemahaman, pengalaman kempensitori, tindakan bermasalah, peneguhan, perasaan komuniti, penentuan matlamat semula dan yang terakhir iaitu sokongan dan pelaksanaan.
Dalam pada itu terdapat juga sebuah lagi model yang sesuai untuk menyelesaikan masalah ini iaitu Model Realiti dan Kaunseling yang diperkenalkan oleh William Glasser. Di dalam model ini Glasser menekankan bahawa setiap inidividu berupaya untuk berubah dan hidup secara berkesan sekiranya diberikan bimbingan dan sokongan. Beliau juga menyatakan bahawa setiap individu bertingkah laku mengikut cara yang tertentu agar dapat membentuk persekitaran mengikut kehendak masing-masing. Selain itu teori realiti Glasser dalam kaunseling adalah berdasarkan andaian teori kawalannya yang merangkumi lima elemen utama iaitu; bahasa aktif, keperluan asas, gambar mental, tingkah laku menyeluruh dan manusia sebagai sistem kawalan.

STRATEGI PENYELESAIAN KAJIAN KES.
            Setelah mengetahui model-model yang wajar digunakan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Cik Carol Yake. Saya mendapati model yang paling kompeten bagi menyelesaikan masalah ini adalah model Skinner. Namun tidak dinafikan bahawa model lain juga turut membantu dalam menyelesaikan kes ini. Bagi menyelesaikan masalah ini, peneguhan positif adah sesuai untuk diaplikasikan kepada Kevin semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Kita sedia maklum bahawa Kevin sering memberontak atas sebab yang kecil seperti salah memberi jawapan apabila menjawab soalan. Oleh itu apabila Kevin melakukan sesuatu perkara yang boleh dipuji , maka gurunya haruslah memberikan peneguhan positif kepada Kevin. Contohnya dengan mengucapkan ,” Ya bagus, jawapan kamu tepat”.
            Selain itu, boleh juga diaplikasikan konsep “time out” ( pengasingan) dimana Kevin perlu dikeluarkan daripada kelas tersebut dan dibawa ke sebuah bilik lain ataupun kawasan yang terpencil bagi meredakan perasaan yang dialaminya. Dalam pada itu, gurunya juga harus sentiasa membina hubungan yang baik dengan Kevin supaya lebih mudah memahami perasaan Kevin mudah untuk menasihati Kevin.
            Seterusnya, boleh juga digunakan kaedah “reverse psychology” kepada Kevin. Ianya bertujuan untuk membuang sikap negatif yang ada pada Kevin dan menggantikannya dengan memupuk sikap yang positif pada diri Kevin. Selain itu, teknik “shaping”   juga boleh digunakan bagi membentuk tingkah laku positif dalam diri Kevin. Caranya adalah dengan memberikan peneguhan secara beransur-ansur  apabila Kevin melakukan tindak balas yang terpuji. Seterusnya , teknik peneguhan negatif juga boleh dilaksanakan, dalam hal ini Cik Carol Yake boleh memberikan peneguhan negatif terhadap Kevin. Contohnya,  apabila Kevin menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini, Cik Carol Yake boleh mengasingkan Kevin daripada rakan sekelasnya bagi membolehkan rakan sekelasnya yang lain meneruskan pembelajaran tanpa gangguan.
            Sementelahan itu, guru yang mengajar murid seperti Kevin juga haruslah bijak dalam proses menyoal soalan, hal ini supaya soalan yang ditanya itu tidak menimbulkan rasa tidak senang terhadap murid . Contonhya, elakkan daripada bertanya “ Kenapa kamu buat macam ini?” tetapi lebih baik jika struktur ayat itu diubah kepada “ Apa yang sedang kamu lakukan? , Apakah kesan tindakan kamu itu?”.

            Akhir sekali, antara strategi lain yang boleh digunakan oleh Cik Carol Yake adalah dengan memberikan bimbingan dan kaunseling kepada Kevin dimana beliau perlu menyedarkan Kevin bahawa dia masih lagi mendapat perhatian dan kasih sayang daripada orang ramai dan dia sama sekali tidak disisihkan.  Kaunseling ini juga perlu dilakukan secara berkala bagi memulihkan kekeliruan yang dihadapi oleh Kevin.

SINOPSIS '' IS KEVIN BLUFFING'

            Secara ringkasnya , artikel  ini merupakan sebuah cerita yang digarap berkaitan dengan seorang guru di Sekolah Rendah Lockhaven yang bernama Carol Yake yang terpaksa berhadapan dengan   pelajar yang bermasalah tingkah laku di dalam kelas iaitu Kevin. Kevin adalah merupakan seorang pelajar yang mempunyai masalah dari sudut perwatakan  yang menyebabkannya tidak sesuai untuk belajar bersama dengan murid lain di dalam kelas tersebut. Selain itu, Kevin juga adalah seorang yang mudah melenting dan akan melakukan perkara yang membahayakan dirinya dan juga orang lain apabila dia berasa tidak selesa ataupun kehendaknya tidak dipenuhi. Sebagai contoh, semasa berada di dalam kelas dia dia pernah bertindak merosakkan kelas dengan menjatuhkan meja yang ada di dalam kelas serta membaling buku-buku dan segala peralatan yang terdapat di dalam kelas.
 Sementelah itu, Kevin juga pernah mengugut untuk menendang cermin tingkap kelasnya bahkan dia juga pernah bergayut di kekisi kelas untuk melempiaskan kemarahannya. Dalam pada itu, seorang guru khas iaitu Encik John Patterson telah ditugaskan untuk menangani masalah Kevin. Apabila Kevin mula berada dalam keadaan yang sukar dikawal Encik John Patterson akan membawa Kevin ke sebuah bilik khas bagi memulihkan keadaannya.

Perkara-perkara yang berlaku di dalam kelas ini menyebabkan gurunya iaitu, Carol Yake dan juga rakan sekelasnya berasa tidak selamat dan terganggu dengan sikapnya yang tidak dapat dijangkakan. Namun , Carol sebagai seorang guru berusaha untuk mengawal keadaan Kevin dengan menunjukkan sikap yang prihatin terhadap Kevin dan bersangka baik serta bersimpati terhadap  Kevin. Hal ini terjadi apabila Carol sering bertemu dengan Kevin secara peribadi semasa waktu rehat. 

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA 1900- 1956


            Sistem pendidikan di Malaysia sememangnya telah lama wujud di Negara ini,  hatta pada zaman kesultanan Melayu Melaka sekalipun terdapat sistem pendidikan yang sedia wujud selaras dengan perkembangan semasa pada ketika itu, misalnya pembelajaran pada ketika itu lebih tertumpu kepada pendidikan Islam yang berjalan di rumah-rumah guru, madrasah dan juga pondok-pondok. Apabila Portugis menawan  Melaka pada tahun 1511, mereka telah memperkenalkan sistem pendidikan berasaskan mazhab Roman katolik, namun ianya bertukar kepada mazhab protestan apabila Melaka jatuh ke tangan Belanda.Pada tahun 1786 sistem tersebut bertukar semula kepada pendidikan Inggeris  yang berlangsung dalam tempoh masa yang begitu lama iaitu daripada 1786 hingga 1956.( Choong Leong Keow, 2007)


            Apabila kita membicarakan perkembangan pendidikan di Malaysia pada sekitar tahun 1900, sudah pasti ianya melibatkan aspek yang sangat besar kerana ianya melibatkan pelbagai aspek pendidikan merangkumi pendidikan rendah, pendidikan menengah, latihan perguruan, pendidikan vokasional dan teknik serta pendidikan tinggi.Sistem pendidikan di Malaysia sebelum merdeka menunjukkan bahawa pendidikan adalah pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang diperkenalkan oleh pentadbiran British pada abad ke 19, iaitu pada peringkat permulaannya, di Negeri-negeri Selat. Pada awalnya , pihak British memberi keutamaan kepada pelajaran Melayu dan Inggeris. Blundell (Gabenor negeri Selat) telah mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-sekolah Vernakular Melayu di negeri-negeri Selat dengan bantuan kerajaan British. Hasilnya, Blundell dengan bantuan kewangan daripada DYMM Temenggung Johor telah menubuhkan dua buah sekolah Vernakular Melayu di Singapura pada tahun 1856. Rentetan daripada itu, bermula daripada tahun 1858 hingga 1863 kerajaan British telah menubuhkan beberapa buah sekolah Melayu di Pulau Pinang dan Melaka . (Sufean Hussin,1993)

Dari sudut matapelajaran yang diajar pula, mata pelajaran yang biasa diguna pakai di sekolah vernakular melayu adalah seperti, Bacaan, Mengarang, Ejaan, Menulis, Ilmu Hisab, Latihan Jasmani dan Ilmu Alam.Pada awal kurun ke-20, mata pelajaran Perkebunan dan Anyaman telah ditambah ke dalam kurikulum sekolah. Selepas itu, hanya sebilangan kecil pelajar sahaja yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Special Malay Class, di mana mereka dapat meneruskan persekolahan di sekolah Inggeris kelak.Pendidikan Cina dan Tamil dibiarkan berkembang secara sendirian berasaskan kaum dimana ketiga-tiga kaum utama di  negara ini mempunyai sistem pendidikan tersendiri yan berbeza antara satu sama lain. Sekolah Vernakular Cina yang pertama telah didirikan oleh Persatuan Mubaligh London di negeri Melaka pada tahun 1815, dan kemudiannya di Singapura pada tahun 1819. Pada tahun 1900, dua orang menteri dan pendidik dari negeri China, Kang You Wei dan Liang Qi Chau telah mendirikan sekolah Vernakular Cina dan menggabungkan pengajaran Confucious dengan pengajaran sains Barat. Dalam pada itu, sesetengah sekolah  cina dijadikan sebagai tempat asuhan bagi memupuk kesedaran kebangsaan pemuda-pemuda cina, selain itu mereka juga menggunakan bahasa cina sebagai bahasa pengantar bahkan turut mengimport guru khas dari Negara China dan buku-buku teks juga dibawa masuk dari Negara China yang menjadikan pemikiran mereka berkiblatkan pemikiran Negara China.(   Shahril @ Charil Marzuki, 1993)


Manakala sekolah Tamil yang wujud pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang utama.Sekolah-sekolah Tamil yang wujud terletak di kawasan ladang-ladang getah, kelapa sawit, kopi dan gula kerana  majoriti daripada pekerja-pekerja ladang didatangkan daripada negara India untuk bekerja di ladang-ladang. Sebahagian besar ladang dibiayai oleh syarikat-syarikat yang mengelola ladang tersebut. Sehingga tahun 1938, terdapat 13 buah sekolah Tamil kerajaan, 511 buah sekolah estet, 23 buah sekolah mubaligh dan 60 buah sekolah Tamil swasta di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Pendidikan yang diberikan di sekolah Vernakular Tamil adalah terhad pada peringkat rendah seperti apa yang berlaku di  sekolah vernakular Melayu . Kurikulum sekolah-sekolah Tamil berorientasikan negara asal mereka, India Manakala buku-buku dan tenaga pengajar dibawa dari Sri Lanka dan India.Sungguhpun demikian, keadaan sekolah Tamil ini tidak pernah setanding dengan sekolah-sekolah Cina, Melayu atau Inggeris. (Sufean Hussin, 1993)

Bagi sekolah Inggeris pula, ianya mula diperkenalkan oleh  para mubaligh Kristian. Penubuhan Penang Free School pada tahun 1816 misalnya adalah bermatlamatkan seperti berikut:
·         Untuk semua bangsa.
·         Murid dididik supaya berdisiplin, berkelakuan baik dan rajin;
·         Yuran secara berpatutan untuk ibu bapa yang berkemampuan.
·         Semua murid akan diajar membaca dan menulis Bahasa Inggeris dan mempelajari Ilmu Kira-kira.
·         Bahasa melayu untuk murid Melayu
·         Diajar tentang pekerjaan seperti pertukangan menjahit dan lain-lain;
·         Murid diajar supaya menghormati ibu bapa dan agama Kristian.
Lanjutan daripada penubuhan Penang Free School telah menyebabkan tertubuhnya lebih banyak sekolah-sekolah Inggeris seperti; Melaka Free School, Victoria Insitute pada tahun 1893, Sekolah King Edward VII di Taiping pada tahun 1906. Pada awal kurun ke-20, semua Free School telah diambil alih oleh kerajaan. Pada tahun 1905 pula, sebuah sekolah Melayu iaitu Malay College Kuala Kangsar ditubuhkan khas untuk anak-anak bangsawan Melayu.(Sufean Hussin,1993)

Penaklukan Jepun terhadap Tanah Melayu pada tahun 1941 sehingga tahun 1945 menyebabkan  kebanyakan sekolah diajar dalam bahasa Jepun.Namun selepas kekalahan pihak Jepun ke atas pihak Inggeris, kurikulum asal telah diaplikasikan semula. Walau bagaimanapun, beberapa laporan cadangan terhadap kurikulum baru telah digubal. Laporan-laporan yang dimaksudkan ialah Laporan Barnes 1951, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran, Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Laporan Razak 1956.Di antara cadangan yang telah dikemukakan ialah menuntut kerajaan supaya menyediakan kemudahan-kemudahan pelajaran dan pembelajaran serta menyediakan guru-guru terlatih di sekolah-sekolah. Guru-guru ini merangkumi mereka yang mempunyai rekod penilaian yang baik serta mempunyai etika pengajaran yang boleh dicontohi oleh para pelajar. (Choong Leong Keow, 2007)

Justeru, apa yang dicatatkan diatas adalah merupakan sistem persekolahan yang telah diamalkan pada suatu ketika dahulu. Yang pastinya  kepelbagaian dan ketidaksamaan  laras pendidikan ini menyumbang kepada masalah perpaduan dalam negara. Perbezaan yang wujud bukan sekadar bahasa pengantar sahaja malah turut membabitkan sukatan pelajaran yang tidak sekata antara sekolah-sekolah yang wujud pada masa itu dan telah menerbitkan bibit-bibit perpecahan terhadan masyarakat di Negara ini sehingga menyumbang kepada tragedi 13 Mei 1969. Apa yang jelas, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik –  berpelajaran Inggeris dan berpelajaran vernakular.