Pages

Monday 3 September 2012

ISU 3 : Pendidikan Islam perlukan perubahan


1.0 PENGENALAN
Mengulas mengenai laporan akhbar Berita Harian bertarikh 10 November 2011 bertajuk “Pendidikan perlu penambahbaikan”, Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama pertubuhan antarabangsa iaitu UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB) telah merancang untuk menambahbaik sistem pendidikan negara agar tidak terkebelakang berbanding dengan negara jiran yang lain. Menurut YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran suatu pasukan petugas yang akan dibentuk oleh kementerian untuk meneliti pencapaian system pendidikan dalam negara dari segi aspek kelebihan dan kelemahan akan dibuat dalam masa yang terdekat. Dengan kerjasama yang dibentuk oleh pihak Kementerian Pelajaran dengan UNESCO seperti yang disebutkan di dalam Berita Harian bertarikh 18 November 2011 menunjukkan keperluan kepada penambahbaikan sistem pendidikan dari sudut dasar pelajaran agar terus maju atau selaras dengan negara-negara jiran.

Terdapat dua kaedah utama yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menambahbaik dasar pelajaran negara iaitu menerusi kerjasama dengan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB), dan melalui Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 (DNPN). Kedua-dua kaedah ini dilihat dapat membantu memberi buah fikiran dan idea yang sesuai dengan penambahbaikan yang diinginkan terhadap pendidikan negara (Utusan Malaysia,2012)

Menurut Loke Yim Pheng, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), beliau mengatakan bahawa kerajaan perlu memastikan rombakan sistem pendidikan terbabit memberi faedah terutama kepada semua pelajar. Selain itu, pihak yang bertanggungjawab juga perlu perlu mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan, kesatuan guru serta pemimpin antarabangsa yang berpengalaman dalam sektor pendidikan.(Berita Harian Online, 17 Mac 2012) Di samping itu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, yang juga dilihat bersetuju dengan penambahbaikan dalam pendidikan ini menyatakan bahawa sistem pendidikan yang menekankan kepada meritokrasi atau penilaian berasaskan peperiksaan sebenarnya telah menafikan bakat serta pembinaan karakter dalam diri pelajar. Beliau berpandangan penilaian berasaskan peperiksaan menyebabkan pelajar tidak memiliki kepelbagaian dari segi kebolehan malah generasi itu disifatkan kaku dan tidak membangun.(Berita Harian Online,17 Mac 2012) Oleh yang demikian rombakan yang berlaku seharusnya lebih bersepadu dan seimbang agar memberi penekanan terhadap meritokrasi berasaskan bakat dan kebolehan serta pembinaan karakter yang sempurna.

Menurut Datuk Dr Rosli Mohamed (Berita Harian,2011) kajian semula terhadap dasar pelajaran negara daripada peringkat pra sekolah sehingga pendidikan tinggi dibuat bagi memastikan semua rakyat Malaysia mengetahui kemampuan mereka, serta bersedia untuk memenuhi tenaga kerja pada masa depan dengan kemahiran yang diperlukan selaras dengan pelbagai program transformasi kerajaan untuk mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran, Abdullah Md Din berkata kementerian sentiasa menyemak pendidikan Islam yang diajar di sekolah rendah dan menengah bagi memastikan ia kekal relevan mengikut arus perubahan semasa.(Bernama, 14 Disember 2011)

            Turut bersama bersetuju dengan hasrat untuk melihat penambahbaikan dalam sistem pendidikan ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan keperluan untuk melakukan rombakan atau transformasi dalam sistem pendidikan negara terutama sekali dalam aspek mengajar dan cara belajar oleh guru dan murid. Corak pendidikan yang bersifat ‘hafalan’ dilihat sudah tidak relevan kerana tiada kemahiran dalam proses berfikir dalam diri pelajar untuk digunakan bagi kepentingan diri sendiri dalam menempuh cabaran globalisasi hari ini. (Berita Harian Online, 14 Mac 2012) Di samping itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi juga meminta guru dalam sistem pendidikan Islam mencari kaedah pembelajaran yang dapat menyeimbangkan pembangunan rohani pelajar dengan keperluan modal insan. (Bernama, 4 Julai 2012) Melalui perubahan yang diinginkan oleh pihak Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri maka perkara berkaitan dengan penambahbaikan dalam sistem pendidikan Islam menjadi topik utama kepada perbincangan.

2.0 PERKEMBANGAN (PUNCA-PUNCA BERLAKU)
Bagi mengenalpasti bahawa betapa perlunya rombakan atau penambahbaikan di dalam sistem pendidikan Islam di sekolah, adalah menjadi keperluan kepada semua pihak untuk membuat rujukan terhadap kemenjadian masalah sosial yang semakin hari semakin membarah dari sehari ke sehari. Statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Statistik Bukit Aman mendapati bahawa walaupun masalah sosial atau jenayah yang melibatkan penjenayah seawal umur 7 tahun menunjukkan penurunan kepada 1,847 orang pada tahun ini berbanding angka yang lebih besar yang ditunjukkan pada tempoh yang sama pada tahun 2009. Di samping itu, dengan berita terbaru daripada Sekolah Harapan di Melaka yang telah ditubuhkan September tahun lalu berjaya melahirkan 83 bayi.Hal ini menunjukkan masalah sosial yang berlaku adalah menjadi semakin runcing untuk diselesaikan oleh semua pihak termasuklah ibu bapa, guru, pentadbir sekolah dan masyarakat umum yang rata-rata menganggap masalah sosial yang berlaku ini ada perkaitan dengan kurangnya penghayatan murid dalam mempelajari Pendidikan Islam di sekolah. (Berita Harian Online, 2 September 2012)

Masalah sosial yang berlaku dikalangan remaja atau boleh disifatkan sebagai pelajar sekolah masih berada pada tahap yang membimbangkan. Menurut Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, pembabitan kanak-kanak, pelajar dan remaja dalam kes jenayah merupakan satu trend yang membimbangkan kerana ada pelajar seawal 15 tahun telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah, berjudi serta pelbagai gejala sosial lain. Melihatkan terhadap kepelbagaian masalah yang berlaku ini sudah pastinya perkara yang sepatutnya diberi perhatian oleh pelbagai pihak adalah apakah yang menjadi punca kepada berlakunya permasalahan sosial yang semakin membarah terhadap golongan remaja atau boleh ditujukan kepada pelajar di negara kita ini?

Menurut seorang tokoh agama yang dikenali di negara kita, Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, mantan pegawai agama istana negara, masalah sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah adalah disebabkan oleh ajaran dan didikan oleh ibu bapa di rumah. Menurut beliau lagi, kebanyakan pelajar yang terlibat dengan masalah sosial adalah datangnya daripada keluarga yang berantakan iaitu pelajar yang mempunyai keluarga yang bermasalah daripada aspek perhatian ibu bapa yang kurang, kerakusan ibu bapa bekerja tanpa menghiraukan anak-anak dan banyak lagi perkara yang berlaku hasil daripada didikan dan ajaran oleh ibu bapa. (Berita Semasa,18 Mei 2010)

Selain daripada itu, jika dilihat daripada sudut kurikulum pendidikan itu sendiri sebenarnya telah diresapi dengan pemikiran sekularisme dan dualisme dalam pendidikan yang diajarkan. Menurut Profesor Hasan Langgulung (1988), kursus Asas Pendidikan atau Teras Pendidikan Profesional tidak diajar menurut perspektif Islam kerana dengan ketiadaan pemurnian terhadap pendidikan berkenaan telah disekularisasikan. Dengan pemisahan Pendidikan Islam yang hanya meliputi 1 subjek sahaja tanpa diserapkan di dalam teras pendidikan professional seperti di dalam subjek sains dan matematik maka ini memperlihatkan bahawa pemisahan agama daripada kehidupan atau disebut sekularisasi dalam pendidikan adalah jelas berlaku dalam sistem pendidikan di negara kita. Hal ini menyebabkan kekeliruan yang berlaku terhadap kefahaman pelajar terhadap pendidikan yang dilihat tiada diintegrasi dengan ilmu pendidikan islam.

Di samping itu, punca terjadinya isu ini adalah disebabkan remaja Islam terutamanya pelajar sekolah ketandusan ilmu kerohanian.(Berita Harian Online,2012).Ketiadaan guru atau masyarakat yang berilmu untuk berdamping dengan pelajar ini menyebabkan pengaruh negatif terutamanya media massa banyak meracuni pemikiran mereka seterusnya meminggirkan ilmu pendidikan Islam yang pernah dipelajari di sekolah. Di tambah pula dengan teknologi komunikasi tanpa batasan pada hari ini memudahkan bagi pelajar ini untuk membuat akses kepada maklumat yang tidak baik semudah 1 klik sahaja. Kajian yang dilaksanakan oleh Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2010 mendapati bahawa 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah mahupun di kafe siber. (Kosmo Online,21 Julai 2010) Penglibatan remaja Melayu yang terus menerus melayari laman web tanpa kawalan ini menyebabkan keperluan kepada penambahbaikan dalam Pendidikan Islam agar ilmu yang dipelajari oleh mereka dapat dihayati dengan baik dan sempurna sepanjang kehidupan mereka.

Seterusnya, proses penambahbaikan dalam subjek Pendidikan Islam diperlukan agar proses pendidikan yang dilaksanakan dapat membina akhlak para pelajar secara berterusan.( Tajul Arffin Nordin,1990) Masalah yang sering berlaku dalam pendidikan pada masa kini ialah ketiadaan penghasilan manusia yang mempunyai keperibadian yang mulia. Sekiranya ada sekalipun berjaya melahirkan ramai professional atau teknokrat yang berkemahiran dan berintelektual kebanyakannya mempunyai masalah dari segi sahsiah dan akhlaknya. Dengan pelbagai masalah yang berlaku meliputi rasuah, kronisme,pecah amanah,jenayah, maksiat dan lain-lain lagi menunjukkan bahawa pendidikan yang dilaksanakan sehingga hari ini belum mampu untuk membina manusia yang mempunyai akhlak dan keperibadian yang tinggi.

Menyedari akan hal yang demikian, ketiadaan menampakkan unsur kegemilangan dalam Pendidikan Islam pada masa kini memerlukan perubahan dan penambahbaikan yang menyeluruh dalam sistem yang ditempuh oleh rakyat Malaysia bermula pendidikan tahap pra sekolah sehinggalah ke tahap universiti. Keperluan untuk menyusun dan membina semula sistem pendidikan Islam di negara ini amat diperlukan agar penghayatan amalan Islam dalam kehidupan dapat diaplikasi dengan sempurna oleh segenap umat Islam dinegara ini.

3.0 CADANGAN CARA MENGATASI ISU
            Bagi menyelesaikan isu berkaitan pendidikan Islam perlukan penambahbaikan maka beberapa cadangan telah digariskan bagi membantu mengatasi masalah dan diharapkan dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit terhadap masalah yang semakin membelenggu masyarakat hari ini.

            Bagi cadangan yang pertama bagi mengatasi isu ini adalah keperluan untuk menerapkan falsafah pendidikan Islam secara langsung dalam sistem pendidikan. Pembentangan kertas kerja yang dilaksanakan pada tahun 2012 di dalam seminar transformasi pendidikan Islam menggariskan bahawa falsafah pendidikan Islam sepatutnya diserapkan di dalam setiap mata pelajaran yang diajar di sekolah. Menurut Ghazali Darussalam (2000) nilai-nilai akhlak perlu disertai tidak setakat dibilik darjah dan terbatas kepada mata pelajaran semata mata. Sebaliknya, ia diperkukuhkan melalui latihan,gerak kerja kokurikulum dan khidmat masyarakat.

            Sebagai contoh di dalam mata pelajaran Sains, penerapan tentang kewujudan alam adalah secara semulajadi adalah tidak benar kerana istilah yang sebenarnya adalah kewujudan alam adalah diciptakan oleh Allah Taala. Contoh lain penerapan pendidikan Islam di dalam subjek lain adalah seperti di dalam subjek Matematik dengan mengintegrasikan ilmu pengiraan dengan kewujudan ahli falsafah Islam yang terkenal seperti Algebra.Dengan pengetahuan pelajar mengenai ahli falsafah Islam berkenaan maka penghayatan Islam dalam diri pelajar akan meningkat atas sebab keinginan mencontohi kepakaran sarjana Islam yang berjaya dalam kehidupan.Keperluan untuk pihak-pihak penggubal kurikulum membuat penambahbaikan dalam kesemua subjek yang diajar di dalam sukatan pelajaran dengan penerapan pendidikan Islam secara langsung amat penting agar dapat menunjukkan bahawa pendidikan Islam dapat difahami dan dihayati sepenuhnya selaras dengan kenyataan Islam itu sendiri yang bermaksud suatu cara hidup yang menurut al-Quran dan as-Sunnah.
            Seterusnya bagi cadangan yang kedua pula, keperluan untuk menyepadukan antara Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Kewujudan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai panduan bagi aktiviti pendidikan di Malaysia menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara terkehadapan berbanding negara lain yang tidak mempunyai falsafah pendidikan negara yang jelas. Dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang mengandungi prinsip dan nilai asas secara jelas dalam mendasari ilmu pendidikan yang paling rendah sehingga ke peringkat yang tertinggi iaitu university menunjukkan bahawa hasrat untuk mewujudkan insan yang berilmu, berakhlak mulia serta bertanggungjawab menjadi hasrat utama kewujudan falsafah berkenaan.

            Penggabungan falsafah pendidikan Islam dan falsafah pendidikan kebangsaan sebenarnya amat diperlukan agar dapat menjadi bukti bahawa pendidikan tinggi bukan sahaja sekadar bagi mendapatkan segulung ijazah atau diploma bahkan mempunyai tujuan yang lebih utama dari segi pembangunan dan kemenjadian diri pelajar secara syumul dan menyeluruh supaya seimbang keilmuannya tentang dunia dan akhirat serta dapat melahirkan insan, ahli keluarga,masyarakat serta warganegara yang didasari dengan falsafah yang digariskan iaitu warganegara yang berilmu, bertanggunghawab, berakhlak mulia dan berbakti. ( Rohizan Ya et. al, 2012).
           
            Keperluan bagi masyarakat Malaysia untuk mempunyai falsafah pendidikan Islam yang disepadukan dengan falsafah pendidikan Kebangsaan dilihat mempunyai kepentingannya tersendiri kerana falsafah pendidikan Islam ternyata baik dan sesuai untuk sebarang masa, masyarakat dan tempat serta sehingga detik ini tiada satu falsafah pendidikan buatan manusia yang dapat menandingi falsafah pendidikan Islam yang akhirnya menghasilkan konsep Pendidikan Sepadu sebagai titik mula kepada perubahan yang diinginkan. (Tajul Ariffin Nordin,1990)

            Cadangan ketiga yang diperlukan bagi penambahbaikan dalam pendidikan Islam ialah mengaitkan Falsafah Pendidikan Islam dengan peranan ibu bapa. Sudah menjadi suatu perkara lumrah kepada ibu bapa yang berkehendakkan anak-anak mereka menjadi oran yang baik dan berakhlak mulia ( Rohizan Ya et. al, 2012). Maka, tiada perkataan lain yang boleh dinisbahkan kepada para ibu bapa yang berkewajipan dan bertanggungjawab dengan lebih utama untuk mendidik anak-anak berbanding guru-guru di sekolah. Keperluan bagi ibu bapa untuk berusaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang terbaik bagi anaknya sangat diharapkan terutama sekali di dalam rumah dengan suasana biah solehah yang secara tidak langsung menjadikan Islam sebagai cara hidup yang sempurna di dalam kehidupan. Dengan kewujudan suasana bi’ah solehah ini maka proses pendidikan sempurna dapat dilaksanakan oleh ibu bapa meliputi kesejahteraan kehidupan, kemahiran yang bermanfaat serta membina acuan sikap yang positif terhadap pembelajaran di rumah mahupun di sekolah.

            Sikap ibu bapa yang sering menuding jari terhadap guru-guru di sekolah dalam soal didikan harus dikikis kerana suasana pembelajaran Islam perlu dimulakan oleh ibu bapa dahulu di rumah berbanding di sekolah sebagai penerus kecemerlangan anak-anak mereka dengan iklim Islam yang dibawa daripada rumah. Permulaan tanggungjawab ibu bapa bagi membina sifat dan akhlak yang baik terhadap anak-anak di rumah banyak membantu pihak sekolah terutamanya guru-guru Pendidikan Islam dalam usaha menghasilkan generasi yang mempunyai kemenjadian yang sempurna bukan sahaja daripada aspek akademik yang cemerlang bahkan aspek sahsiah yang terpuji dan terbilang juga dapat dihasilkan dengan bantuan yang berterusan daripada pihak ibu bapa. (Robiah Sidin,1998)

            Di samping itu, dalam meneliti keperluan ibu bapa bagi mengisi kelompongan yang berlaku terhadap anak-anak mereka dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang positif dan berteraskan kehidupan Islam, peranan guru juga harus dilihat menjadi keperluan utama bagi memastikan pendidikan Islam melalui penambahbaikan yang maksimum terhadap murid-murid. Dalam erti kata lain, status dan kualiti guru Pendidikan Islam perlu dipertingkatkan daripada semasa ke semasa. Oleh yang demikian, guru seharusnya berusaha untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan ilmu keagamaan. Dalam hal ini, suatu perkara yang perlu dititikberatkan oleh guru Pendidikan Islam adalah dari segi perwatakan guru di dalam dan di luar sekolah, seharusnya seseorang yang bergelar guru Pendidikan Islam mempunyai perwatakan yang berlandaskan Islam di mana sahaj mereka berada dalam usaha memberikan gambaran yang jelas terhadap murid-murid di sekolah mahupun di luar sekolah akan kepentingan menjadi manusia yang sentiasa mengamalkan adab dan ajaran Islam yang baik ( Rohizan Ya et. al, 2012).

            Dalam usaha meningkatkan status dan kualiti guru Pendidikan Islam daripada semasa ke semasa, sikap dan pengamalan guru di mana sahaja guru berada dalam kehidupan guru sendiri amat penting kerana segala kelakuan dan perbuatan yang dilakukan oleh guru akan menjadi penanda aras bagi murid untuk menjadikan guru sebagai ‘role model’ kepada mereka. Penghasilan guru yang dapat mengamalkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh dan didapati mereka dalam kehidupan seharian guru amat diperlukan bagi memastikan penambahbaikan dalam Pendidikan Islam dapat diperlihatkan secara jelas kepada murid seterusnya ditiru perihal perbuatan guru yang baik dalam kehidupan seharian murid. Istilah ‘guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari’ seharusnya dihindarkan oleh guru Pendidikan Islam kerana sekiranya guru Pendidikan Islam tidak dapat mengamalkan ilmu yang ada dalam diri dalam kehidupan seharian maka sudah tentu adalah mustahil bagi murid untuk berubah menjadi lebih baik dalam kehidupan seharian.

            Selain itu, dalam arus pendidikan moden masa kini seringkali kita melihat bahawa matlamat utama pendidikan adalah untuk memperoleh ilmu, menguasai kemahiran serta membina sikap yang terpuji. Dalam usaha menambahbaik sistem ini, seharusnya memerlukan suatu mekanisme perubahan yang berada dalam skala yang besar iaitu menggantikan matlamat akhir kepada membina sikap yang baik digantikan dengan matlamat membina akhlak Islam serta perubahan yang paling utama ialah mendekatkan diri kepada Allah swt. Perubahan matlamat pendidikan sebegini seharusnya dikaji dengan mendalam dan bersifat mendasari akar umbi agar generasi yang akan dilahirkan kelak adalah generasi yang berteraskan al-Quran dan Hadis serta sentiasa memiliki akhlak mulia berasaskan penghulu manusia iaitu Nabi Muhammad SAW serta sahabat-sahabat baginda yang mempunyai pekerti yang amat terpuji. (Tajul Ariffin Nordin,1990)

            Beberapa cadangan lain yang perlu dilaksanakan bagi menonjolkan perubahan yang positif terhadap penambahbaikan dalam Pendidikan Islam antaranya ialah pembentukan sistem penilaian yang bersesuai dengan objektif pendidikan (Noor Hisham Md Nawi,2012). Dalam arus pendidikan masa kini, kewujudan kurikulum baru yang disebut KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) yang baru sahaj dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan perkembangan positif dalam arus pendidikan yang tidak menekankan hasil akhir sahaja seperti penilaian di hujung semester bahkan penilaian adalah bersifat sepanjang tahun. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa topik atau bab dalam pembelajaran pendidikan Islam yang memerlukan penilaian yang berstruktur seperti ujian bagi mengetahui setakat mana pencapaian dan pemerolehan ilmu yang didapati oleh murid. Maka yang demikian,pengintegrasian antara penilaian sepanjang tahun dan penilaian berterusan berasaskan amali perlu dilaksanakan kedua-duanya dalam sistem Pendidikan Islam agar dapat meningkatkan penghayatan murid dalam pembelajaran Pendidikan Islam seterusnya mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian.

4.0 RUMUSAN
Penambahbaikan dalam Pendidikan Islam negara kita pada hari ini memerlukan suatu kekuatan dan kesepaduan yang tinggi daripada pelbagai pihak meliputi pelajar,guru, ibu bapa, sarjana Islam, menteri dan semua pihak yang menginginkan terbinanya suatu sistem pendidikan yang dapat mengubah diri individu secara sempurna sebagai seorang umat Islam yang sentiasa mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian tanpa melaksanakan perkara yang ditegah oleh agama.

Sebagaimana perkara yang telah digariskan oleh sarjana Islam, imam AL-Ghazali suatu ketika dahulu yang mengatakan bahawa:
“Pendidikan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukan pangkat dan bermegah-megah dan janganlah hendaknya seseorang pelajar itu belajar untuk mencari pangkat,harta, menipu orang-orang bodoh atau bermegah-megah dengan kawan. Jadi pendidikan itu tidak keluar dari pendidikan akhlak”
Perkara yang digariskan oleh sarjana Islam berkenaan menunjukkan bahawa pendidikan seharusnya dapat menjadikan manusia itu dekat dengan Allah di samping mengenepikan pangkat,harta, dan penipuan terhadap manusia lain serta menunjukkan bahawa pendidikan akhlak menjadi asas kepada hasil pendidikan yang sepatutnya diperoleh oleh setiap individu yang dilahirkan dalam sesebuah sistem pendidikan.

            Sistem pendidikan yang ada pada masa kini seharusnya digubal dengan lebih bai, sempurna dan tersusun agar dapat mengembalikan semula penghayatan Islam dalam diri pelajar-pelajar pada hari ini. Pendidikan sepatutnya tidak dipisahkan antara agama dan dunia sesuai dengan sabda Rasulullah SAW iaitu bekerjalah untuk duniamu seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya dan bekerjalah untukakhirat seakan-akan engkau akan mati esok. Masalah sekularisasi sistem pendidikan dengan memisahkan Pendidikan Islam dari sudut mata pelajaran seharusnya dikaji semula agar matlamat pendidikan yang sebenar dapat dibina seterusnya melahirkan lebih ramai sarjana Islam seperti pada zaman kegemilangan Islam suatu masa yang lalu dengan akhlak yang sempurna dan baik.

            Menurut Prof. Dr. Mohd Athiyah al-Abrasyi dalam bukunya Dasar-dasar pokok Pendidikan Islam (1974), beliau telah merumuskan bahawa pendidikan moden sekarang ini amat memerlukan pendidikan Islam iaitu pendidikan idealis yang bersifat kerohanian, moral dan keagamaan hingga kita belajar itu adalah kerana ilmu dan kelazatan ilmiah dengan demikian kita terlepas dari keruntuhan, kejahatan dan kemiskinan, keserakahan, penjajajahan dan keangkara-murkaan serta peperangan dengan segala bencana yang ditimbulkannya demi untuk menikmati suatu kehidupan yang abadi,hidup bersama bantu-membantu dalam suasana demokrasi dan bahagia. Kata-kata beliau ini menunjukkan akan peri pentingnya sistem pendidikan Islam dinegara kita ini menjalani penambahbaikan selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri kita yang menginginkan kemahiran dalam proses berfikir dalam diri pelajar dapat digunakan bagi kepentingan diri sendiri dalam menempuh cabaran globalisasi hari ini.





(2850 patah perkataan)

1 comment:

  1. This is really good . I want to take all this info and put it in my islamic studies essai. For my final. Thank you!

    ReplyDelete