Pages

Monday 3 September 2012

Isu 2: Cabaran Profesion Keguruan


1.0 PENGENALAN

Ramai berpendapat secara umumnya kerjaya sebagai seorang guru merupakan suatu pekerjaan yang murni. Tambahan pula dikatakan guru mempunyai cuti yang banyak. Ada juga yang mengatakan menjadi seorang guru senang dan memperoleh pendapatan tinggi dan tetap. Tidak kurang juga yang menyatakan menjadi seorang guru merupakan ‘jalan mati’ setelah profesion lain tidak memberikan peluang yang baik.

Pelbagai tanggapan yang boleh disimpulkan sama ada dalam kalangan masyarakat umum tentang profesion guru. Namun sebenarnya profesion menjadi seorang guru bukan sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik malah menjadi seorang guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia untuk menjadi modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Dalam mengharungi proses dan sistem pendidikan tersebut khususnya di negara kita seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan konteks tugasannya di bilik darjah dan sekolah. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007 : 232) cabaran didefinisikan sebagai hasil mencabar (mempersoalkan, mempertikaikan, ajakan (untuk berlawan dan sebagainya), sesuatu (unsur, faktor dan sebagainya) yang mencabar (menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi dan lain-lain), pekerjaan yang penuh dengan cabaran. Oleh itu, secara lateralnya cabaran membawa maksud sesuatu hal atau perkara yang menguji kemampuan serta ketabahan seseorang yang ada kaitannya dengan sesebuah organisasi.

Dalam konteks perguruan, profesion menjadi seorang guru perlu menyahut cabaran untuk melihat keupayaan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya bukan sahaja dalam biik darjah namun di sekolah secara amnya. Profesion keguruan adalah satu bentuk perkhidmatan sosial yang amat mencabar jika dilihat dari segi tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Hal ini kerana golongan guru adalah golongan yang bertanggungjawab memastikan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Guru tercapai. Ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya bentuk tugasan ini bukan yang terancang tapi sesuatu tidak terduga. Pandangan sebegini pasti akan menyebabkan reputasi profesion perguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia terjejas.

Guru profesion adalah seseorang yang tahu menghasilkan kerja bermutu tinggi dalam bidangnya serta sentiasa bersedia berkongsi kepakarannya di samping sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Matlamat kerjaya seorang guru ialah menghayati prinsip perkembangan yang berterusan. Impak daripada tugas yang dilaksanakan ternyata memberi sumbangan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi dan masa depan generasi muda khususnya dalam konteks pembinaan modal insan. Seseorang guru perlu melalui beberapa peringkat dalam kerjayanya sebelum dapat mencapai ke tahap kepakaran atau kecemerlangan. (Harian Metro 26 Mei 2012).

1.1 PERKEMBANGAN HUJAH

Guru-guru khasnya dan profesion perguruan amnya, adalah tidak terkecuali daripada terlibat dengan keadaan perubahan akibat daripada internationalisme dan globalisasi (Ibrahim Abu Shah, 2002; Rohaty Majzub, 2000; Wan Liz Ozman, 2000; Kim, 1995). Hal ini memandangkan guru adalah agen perubahan. Berdasarkan artikel Cabaran Profesion Keguruan oleh Rizuan Khamis dalam Dewan Masyarakat Mei 2012 ada menyatakan bahawa seperti profesion lain, bidang keguruan yang juga terkandung dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan tidak terkecuali mendepani cabaran yang cukup besar. Antara cabaran-cabaran yang mendepani profesion keguruan pada masa ini ialah cabaran dalam bilik darjah, cabaran di sekolah, cabaran dalam sistem pendidikan, cabaran dalam masyarakat, cabaran berasaskan wawasan 2020 dan cabaran globalisasi.

1.1 Cabaran Dalam Bilik Darjah

Berdasarkan artikel Cabaran Profesion Keguruan oleh Rizuan Khamis dalam Dewan Masyarakat Mei 2012, guru ialah ejen keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan pendidikan adalah berhubung rapat dengan kesedaran para guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan keilmuan dan keluhuran peribadi.  Walaupun sesuatu sistem pendidikan itu baik, sekiranya ejen yang menyampaikan itu tidak efektif maka maksud yang ingin disampaikan tidak akan tercapai matlamatnya. (Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010).

Dalam keadaan dunia pendidikan yang semakin mencabar ini, sebagai pengamal ilmu, guru perlu menguasai subjek yang diajarnya. Guru juga perlu menunjukkan interaksi dua hala dan menggunakan pelbagai teknik dan kaedah untuk menambah keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Sebagai ejen keberkesanan pendidikan, tugas guru adalah untuk mendidik murid-murid supaya menjadi generasi berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bersemangat patriotisme dan bertanggungjawab terhadap diri, masyarakat, agama dan Negara selaras dengan apa yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menurut Wan Mohd. Zahid (1993), pada abad ke-21, para pelajar perlu dikembangkan potensinya yang ada di hemisfera otak kanan dan di hemisfera otak kirinya secara seimbang.  Dari sudut proses pengajaran dan pembelajaran pula, dalam abad ke-21 para pelajar akan mendapat pelbagai kemudahan, termasuk kemudahan ICT sebagai yang dirancang untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran bestari. Hal ini menjadi satu cabaran kepada profesion keguruan. Dalam proses penilaian pelajar pula, penilaian kemajuan berasaskan sekolah (PKBS); penilaian hasil pembelajaran (learning outcomes); pelaksanaan penanda aras (bench marking); dan ujian atau peperiksaan secara talian terus (on-line) akan menjadi perkara biasa untuk dilaksanakan dalam abad ke-21. Guru hendaklah menyediakan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran ini. Menurut Wise (1999), ‘Increasingly, technology is poised to revolutionize teaching, learning and assessment’.

1.1.2 Cabaran Di Sekolah

Persidangan Pendidikan ke-5 dalam tahun 1997 merumuskan bahawa cabaran besar dalam abad ke-21 selain daripada ledakan ilmu yang berbentuk global ialah masalah sosial yang perlu ditangani dan di atasi ke arah membentuk masyarakat madani (Mohamad, 1998). Perdana Menteri Malaysia menegaskan bahawa kepentingan sistem pendidikan menyediakan ‘generasi kedua’ atau ‘generasi wawasan’ memerlukan piawaian baru termasuk mengurangkan masalah gejala sosial pelajar seperti ponteng sekolah dan lepak serta salah laku yang lain (Wan Mohd. Zahid, 1997).

Di negara kita, terdapat 430,000 guru untuk mendidik 5.4 juta pelajar. Betapa besarnya tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik bilangan anak dan pelajar yang begitu ramai. Dalam satu artikel yang disiarkan dalam Harian Metro bertajuk, “Minda: Guru Pencetus Transformasi” bertarikh 30 Ogos 2012, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berpendapat pelajar sering melakukan kejutan kepada masyarakat dengan masalah sosial mereka. Ada segelintir daripada pelajar yang malas belajar, suka tidur dalam kelas, ponteng atau terbabit kegiatan samseng, membuli, merempit, berzina, buang bayi, merokok, salah guna dadah, mencuri dan gejala lain.

Antara Januari dan Jun tahun ini, kira-kira 11,880 pelajar direkod terbabit dengan kegiatan jenayah. Kira-kira 40,000 pelajar terbabit dengan vandalisme, menonton dan menyimpan bahan lucah dan bertindak kasar manakala 24,000 lagi didapati ponteng dan lewat ke sekolah.  Isu disiplin pelajar memang satu perkara yang serius. Namun, ia bukan tugas pendidik semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti masalah atau keadaan tertentu yang dihadapi anak mereka serta lebih prihatin dan mengambil tahu hal anak mereka secara lebih mendalam dan terkawal. Sesungguhnya, guru berada di saf hadapan untuk membangun bangsa cemerlang yang akan menentukan sebuah negara maju, aman dan dihormati. 

Jumlah pelajar yang terlibat dengan kes disiplin semakin hari semakin meningkat (Shahril @ Charil & Habib, 1999). Pada tahun 1993 sebanyak 36.7% daripada keseluruhan pelajar dikenakan tindakan amaran; 15.66% diberi nasihat; 16.8% dirotan sekali; 8.18% dirotan dua kali; 2.27% dirotan tiga kali; 0.90% dirotan lebih tiga kali; gantung sekolah 2.90%; buang sekolah 0.51% (Wan Mohd. Zahid, 1997). Mungkin dari segi angka peratus adalah kecil tetapi dari segi bilangan pelajar yang terlibat keseluruhannya adalah pada angka yang besar. Kaeadaan ini adalah sangat mencabar dan membimbangkan.

Dr Novandri Hasan Basri juga menyatakan bahawa bahawa waktu sekarang, hampir semua ibubapa dan masyarakat mempunyai taraf pelajaran yang lebih tinggi. Orang dewasa ini telah pun berjaya melalui sistem persekolahan tersebut. Hal ini menghasilkan satu masyarakat yang juga mempunyai ilmu-ilmu yang dahulunya hak ekskusif dan hanya diketahui oleh guru-guru. Lantaran itu, mereka mengganggap guru-guru di sekolah hanya sebagai objek penyalur ilmu secara formal sahaja (Jun 2003).

Yusri Abdul Malek dalam artikelnya “Displin Pelajar Bermula di Rumah” pula menegaskan pula bahawa pada zaman dulu guru dihormati dan rotan ialah senjata utama mendisiplin pelajar tetapi kini semua itu tidak dianggap relevan lagi. Tegas beliau, kebanyakan ibu bapa yang berkerjaya dan bergaji besar serta berasal dari kampung bagaikan lupa peranan guru yang membantu kejayaan mereka hanya kerana anak mereka dirotan kerana kesalahan disiplin. Sebaliknya, mereka bertindak datang ke sekolah dan menyalahkan guru yang terbabit merotan anaknya. Hal ini sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita.Terlalu banyak campur tangan dan akhirnya guru tiada kebebasan untuk bertindak menyebabkan masalah disiplin tiada noktah. (Harian Metro, 25 Mei 2006)


1.1.3 Cabaran Dalam Sistem Pendidikan

Berdasarkan artikel Cabaran Profesion Keguruan oleh Rizuan Khamis dalam Dewan Masyarakat Mei 2012, dunia pendidikan berubah dengan penekanan diberikan kepada penggunaan teknologi maklumat yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengurusan sekolah menjadi semakin kompleks. Menurut Reighlath dalam Ornstein & Hunkins (1993), pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah di zaman kepesatan teknologi banyak mengalami perubahan selaras dengan yang terkini. Ini memberi cabaran kepada guru di dalam mengikuti perkembangan terkini. Guru perlu menyediakan diri untuk memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia.

Tugas, tanggungjawab dan peranan guru di Malaysia hari ini bukan sahaja berbeza dari masa yang lalu, tetapi juga lebih berat dan kompleks. Hal ini adalah akibat daripada perkembangan dan kemajuan pendidikan negara yang pesat. Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa nanti. Perubahan sistem pendidikan di Malaysia yang pesat, khasnya pelaksanaan reformasi pendidikan dalam dekad 80-an dengan pengenalan program KBSR dan KBSM memerlukan guru mereformasikan diri ke arah pandangan, sikap dan daya usaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahun dan kemahiran mengajar yang canggih demi mempertingkatkan keupayaan dan prestasinya dalam bidang kerja yang kian mencabar.

Ekoran daripada reformasi pendidikan yang dilancarkan khasnya pengenalan konsep sekolah bestari, tugas dan kerja guru hari ini tidak sama seperti masa yang lalu. Peranan guru yang lalu merupakan seorang penyampai maklumat tetapi pada masa kini peranannya telah berubah menjadi seorang pembimbing, fasilitator dan pemberi rangsangan dalam bilik darjah. Guru pada masa dulu menumpukan tugasnya mengajar murid dengan ilmu pengetahuan tetapi pada masa kini menyeluruh dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi, mendidik murid supaya enjadi insan yang berilmu pengetahuan serta berakhlak mulia berani dan sanggup menghadapi cabaran hidup serta berguna untuk pembangunan Negara.

Perubahan peranan guru hari ini adalah diiringi dengan perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Hal ini bermakna sistem latihan perguruan dahulu telah dianggap kurang sesuai dan berguna lagi untuk mencapai matlamat pendidikan yang baru. Perubahan-perubahan yang seperti ini tentunya mengubah harapan dan keperluan semua pihak ke atas kecekapan dan keterampilan guru-guru agar impian sebagai yang diwawarkan menjadi kenyataan.


1.1.4 Cabaran Dalam Masyarakat

Profesion perguruan adalah berkait dengan kemasyarakatan. Berdasarkan artikel Cabaran Profesion Keguruan oleh Rizuan Khamis dalam Dewan Masyarakat Mei 2012, pendidik memainkan peranan yang dominan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Semakin masyarakat dan negara bertambah maju dan bersifat global semakin banyak cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru; semakin meningkat taraf hidup dan status sosio ekonomi rakyat, semakin besar gelombang cabaran di hadapan guru-guru (Ramlan, 2002). Guru juga adalah agen perubahan yang membawa kemajuan kepada masyarakat (Wan Liz Ozman, 2000; Atan Long, 1980). Menurut Boyer (1994), dalam abad ke-21, cabaran dalam bidang pendidikan adalah tidak terhad kepada penemuan-penemuan baru sahaja. Namun ia termasuk juga penyesuaian penemuan-penemuan tersebut kepada perspektif yang lebih luas dan seterusnya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Oleh yang demikian, kaum guru perlulah mempunyai kesediaan menerima sebarang penemuan baru seterusnya berkemampuan untuk mengaplikasikan penemuan baru tersebut di dalam profesion bagi kepentingan masyarakat.

Kepada masyarakat, guru adalah sumber maklumat dan pengetahuan, kemahiran dan keterampilan; sumber kebudayaan dan ilmu; sumber pemupukan kepercayaan dan sistem nilai; penyedia tenaga manusia untuk alam pekerjaan; dan penjagaan belia, remaja dan kanak (Wan Liz Ozman, 2000; Kementerian Pendidikan, 1996; Sufean Hussin, 1996; Wan Mohd Zahid, 1994). Guru juga merupakan agen penyatu masyarakat. Dalam satu artikel yang disiarkan dalam Harian Metro bertajuk, “Minda: Guru Pencetus Transformasi” bertarikh 30 Ogos 2012, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berpendapat guru daripada pelbagai latarbelakang, anutan agama atau bangsa mestilah terbabit dalam proses membentuk perpaduan, sekali gus menjalin hubungan dan kerjasama yang kukuh dan berkekalan.

Berdasarkan artikel Cabaran Profesion Keguruan dalam Dewan Masyarakat Mei 2012 Rizuan Khamis juga ada menyatakan guru berperanan sebagai ejen penyalur budaya dan ilmu. Selain itu, guru berperanan sebagai institusi kedua selepas keluarga. Dalam cakupan ini, guru memainkan peranan sebagai ejen pewarisan budaya yang penting bagi membentuk sesebuah masyarakat. Proses pembelajaran mungkin berlaku secara spontan dan personaliti berubah secara tidak disedari. Guru harus mendepani cabaran secara profesional dan sedar tentang hakikat bahawa guru ialah pembimbing dan pendidik dalam masyarakat yang berbudaya. Banyak persepsi yang melingkari profesion keguruan, antaranya tanggapan yang menyatakan bahawa profesion keguruan sebagai mudah dan tidak memeningkan kepala, namun menjanjikan gaji yang memuaskan.

1.1.5 Cabaran Berasaskan Wawasan 2020

Berdasarkan artikel Cabaran Profesion Keguruan oleh Rizuan Khamis dalam Dewan Masyarakat Mei 2012, guru yang aktif dan bersikap terbuka akan sentiasa melihat teknologi baharu sebagai perkara yang positif dan berusaha mencari alternatif yang terbaik bagi menguasainya. Pengaplikasian teknologi dalam pengajaran akan menghasilkan generasi berteknologi yang mampu mengharungi era globalisasi, sekali gus merealisasikan impian negara agar menjadi negara maju pada 2020.

Tuntutan Wawasan 2020. Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia adalah dinyatakan seperti berikut :

“Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang bersatu padu, dengan masyarakat Malaysia mempunyai rasa keyakinan diri, ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokratis, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, tangkas serta mempunyai daya ketahanan.”  (Mahathir Mohamad, (1991), Malaysia Melangkah Ke Hadapan)

Guru ialah orang yang kerjayanya mempunyai implikasi yang jauh ke hadapan, tanggungjawabnya adalah bersifat futuristik di mana gurulah yang mendidik generasi yang akan hidup di masa hadapan. Oleh yang demikian guru perlu sentiasa peka dan sensitif akan tuntutan wawasan negara yang disuarakan bagi mengatur program-program perkembangan negara ini menjelang abad ke-21 ((Pengarah Pendidikan, 2000; Ibrahim Mamat, 2001; Wan Liz Ozman, 2000; Robiah Sidin, 1998; Sufean Hussin, 1996; Wan Mohd Zahid, 1993). 

Cabaran-cabaran yang terkandung dalam wawasan negara adalah meliputi proses pembangunan kognitif, afektif dan psikomotor serta penerapan nilai dan asas moral bagi membentuk sikap kanak-kanak atau pelajar. Generasi baru yang dihasilkan melalui proses ini perlu dapat memanifestasikan inovasi, daya cipta atau daya reka yang tinggi di samping perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat. Guru adalah sebagai orang yang bertanggung jawab secara terus kepada proses bagi mendapatkan hasil akhir ini baik pada dimensi instrinsik mahupun dimensi instrumental. Justeru itu guru perlu berkterampilan, inovatif, kreatif, reflektif, futristik, analitik di samping berpegang kepada nilai-nilai murni.

1.1.6 Cabaran Globalisasi

Berdasarkan artikel Cabaran Profesion Keguruan oleh Rizuan Khamis dalam Dewan Masyarakat Mei 2012 memetik kenyataan Mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Haji Ahamad Sipon, bahawa dalam abad ke-21, bidang pendidikan menghadapi pelbagai cabaran akibat kesan globalisasi dan liberalisasi. Setiap pendidik di institusi pendidikan pasti menghadapi cabaran sebagai seorang pendidik. Oleh sebab itu, kesan globalisasi dan liberalisasi menuntut guru yang berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Dalam suasana alaf baharu yang berorientasi TMK, teknologi memainkan peranan yang besar dalam pendidikan.

Menurut Mok Soon Sang (2010), globalisasi pendidikan membawa tekanan kepada guru supaya berubah dari stail pengajaran lama kepada baru, mengikut hasil dapatan penyelidikan pendidikan yang terkini. Fungsi utama globalisasi pendidikan ialah menghasilkan sumber-sumber diperlukan pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Ia merupakan proses berterusan untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pengalaman individu. Naisbitt (1982) pula menegaskan dalam abad ke-21, salah satu aliran mega di peringkat global ialah kepakaran pendidikan secara global (global educational experties) selain daripada hubungan dalam bentuk rangkaian (networking). (Noriati et. al, 2009).

Bagi Rohaty Majzub (2000), ini dianggap sebagai sifat antara bangsa (international character) yang perlu ada pada guru kerana ini adalah avenue baru yang perlu diteroka dan diperkembangkan. Kesemuanya ini juga menjadi cabaran kepada guru. Pelaksanaan pengajaran dalam bahasa Inggeris adalah selari dengan arus globalisasi. Guru-guru perlu menyahut cabaran ini kerana generasi yang hidup pada abad ke-21 ini perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi hingga ke peringkat antarabangsa. Selain daripada itu kebanyakan sumber maklumat adalah berasaskan kepada bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris. (Mok Soon Sang, 2010).

Dalam era ledakan teknologi maklumat dan pada ketika dunia kini menjadi sebuah ‘global village’, tuntutan terhadap ilmu pengetahuan menjadi semakin mendadak. Justeru itu, guru-guru perlu dan harus sentiasa mengemaskini serta mepertingkatkan ilmu pengetahuan masing-masing terutama penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pendidikan. (Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010). Dalam satu artikel yang disiarkan dalam Harian Metro bertajuk, “Minda: Guru Pencetus Transformasi” bertarikh 30 Ogos 2012, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berpendapat pada abad ke-21 ini, antara cabaran terbesar dihadapi guru ialah perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Tidak dinafikan perkembangan semasa memberi kesan kepada proses sahsiah, terutama pelajar. Tambah beliau, kebanyakan pelajar sudah mahir komputer bahkan pemahaman dan keupayaan mereka kadangkala melebihi guru. Disebabkan itulah guru perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, selain memahami tanggungjawab serta berikan komitmen dengan melaksana pendekatan baru ke arah meningkatkan kualiti pendidikan.

Kenyataan ini disokong oleh Cikgu Azlan Hussain, guru sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria (Victoria Institution), Kuala Lumpur dalam satu artikel yang disiarkan dalam Berita Harian bertajuk, “Selamat Pagi Cikgu” bertarikh 30 Ogos 2012, apabila ditanya tentang “Bagaimana anda simpulkan cabaran profesion guru pada hari ini?” Beliau berpendapat terdapat tiga cabaran dihadapi guru pada hari ini. Pertama, faktor masa lebih panjang yang menuntut guru mempelbagaikan corak pengajaran. Kedua, cabaran dari pihak luar secara langsung dan tidak langsung manakala ketiga ialah cabaran dari segi kemajuan teknologi maklumat (IT). Sebagai guru kita perlu pantas dan mempersiapkan diri untuk menerima ilmu baru. Ini kerana kita lihat pelajar sendiri cepat mendapatkan pelbagai maklumat.

1.3 IMPLIKASI HUJAH

Untuk menangani cabaran-cabaran profesion keguruan tersebut, para guru mestilah menyediakan diri mereka dalam pelbagai aspek. Berdasarkan artikel Cabaran Profesion Keguruan oleh Rizuan Khamis dalam Dewan Masyarakat Mei 2012 ada memetik kata-kata David Ryans dalam bukunya Characteristics Of Teachers—Their Description, Comparison, And Appraisal berpendapat bahawa guru yang berkesan dalam menangani cabaran ialah guru yang mempunyai sifat adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur, cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan. Di samping itu, elemen-elemen penting yang mesti ada pada setiap guru dalam mendepani cabaran profesion keguruan pada masa kini ialah ciri dan kualiti professional, pengajaran yang efektif, peningkatan profesionalisme, peningkatan dalam penggunaan ICT, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia serta bertanggungjawab.

1.3.1 Mempunyai Ciri Dan Kualiti Profesional

Seseorang guru itu perlulah mempunyai ciri dan kualiti yang profesional sesuai dengan proses perkembangan pendidikan ini. Cabaran guru untuk merealisasikan Misi Kementerian Pendidikan, khasnya meningkatkan kualiti sekolah ialah guru haruslah sentiasa berusaha meningkatkan taraf profesional melalui latihan dalam perkhidmatan, perlaksanaan penyelidikan tindakan secara kolaborasi, membuat refleksi kendiri, memupuk budaya ilmu, menambah ilmu dan kemahiran melalui e-pembelajaran dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang terkini untuk merancang serta melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Guru juga mestilah berupaya membuat keputusan, menyelesai masalah serta berfikiran kritis dan kreatif. Para pendidik juga mesti sedar bahawa profesion mereka bukan sahaja mengajar tetapi terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya.

1.3.2 Mewujudkan Pengajaran yang Efektif

Dari segi pengajaran yang efektif dalam sekolah berkualiti pula, bergantung kepada perlakuan mengajar guru dalam proses perancangan, pelaksanaan dan penilaian. Keberkesanan pengajaran boleh berlaku apabila guru telah merancang sesuatu program mengajar mengikut prinsip mengajar.pengajaran efektif mempunyai objektif pelajaran eksplisit yang ditentukan berdasarkan sukatan pelajaran serta kebolehan murid-murid. Selain itu melaksanakannya dengan cekap dan berjaya menggunakan teknik mengajar yang sesuai. Strategi dan kaedah mengajar yang digunakan adalah sesuai dan cerdas diberikan aktiviti pengayaan, manakala murid-murid yang lambat dibimbing dengan aktiviti pemulihan. Keberkesanan pengajaran ini dapat dilihat apabila guru menggunakan teknik penilaian terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. (Noriati et. Al, 2009)

1.3.3 Mempertingkatkan Profesionalisme

Seorang guru berkualiti juga perlu mempertingkatkan Profesionalisme. Guru harus sedar tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan negara. (Syed Ismail & Ahmad Sabki, 2010). Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pendidikan perlu dikemaskini. Berusaha mengaplikasi kaedah- kaedah pengajaran dan pendidikan terkini. Guru perlu menyambut baik dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib agar dapat mempertingkatkan keupayaan, ketahanan dan prestasi bagi mendepani cabaran yang semakin kompleks ini. Dengan ini suatu anjakan paradigma dapat dilakukan oleh para pendidik.


1.3.4 Meningkatkan Kemahiran dalam Penggunaan ICT

Perkara yang paling penting bagi mendepani cabaran profesion keguruan pada masa kini ialah meningkatkan kemahiran Dalam Penggunaan ICT. Bidang perguruan sentiasa berkembang dan berubah sejajar dengan perubahan zaman. Perkembangan global dengan teknologi telekomunikasi dan internet menuntut banyak cabaran kepada pendidik untuk mencapai Misi Nasional. Para guru mesti bersikap proaktif dan terangsang dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih ini. Ilmu ICT mesti terlebih dahulu dapat dikuasai oleh para pendidik sebagai melengkapkan diri dengan kemahiran terkini bagi menyempurnakan penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer sebagai satu bentuk kurikulum wawasan negara Malaysia untuk menjadikan negara maju menjelang 2020. Guru juga harus memperlengkapkan diri secara global kerana dalam era teknologi maklumat masa kini masyarakat terpaksa berdepan dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian sebagai cara hidup moden. Pembestarian sekolah seperti projek Sekolah Bestari dan SchoolNet, hendaklah dihargai oleh guru dengan menggunakan segala kemudahan semaksima mungkin.

1.3.5 Berilmu pengetahuan Dan Berakhlak Mulia

Selain itu juga, dalam mendepani cabaran profesion keguruan pada masa kini, seorang guru perlulah berpengetahuan, berdaya fikir dan berakhlak mulia. Guru yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian. Isu-isu semasa berkaitan dengan kekeluargaan dan komuniti masyarakat, ekonomi dan sebagainya. Guru yang berpengetahuan dapat melahirkan generasi anak didik yang cemerlang di kemudian hari. Dalam perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar ini, profesion perguruan perlu menyediakan diri dengan amalan nilai murni dan akhlak yang terpuji. Dalam kurikulum pendidikan ditegaskan nilai-nilai murni yang perlu diserapkan kepada pelajar dalam pengajaran. Penerapan nilai murni ini penting untuk menyediakan para pelajar menjadi warga yang berguna kepada bangsa dan negara. (Mook Soon Sang,2010)

1.3.6 Bertanggungjawab

Tanggungjawab merupakan suatu perkara yang amat penting untuk membimbing pelajar bagi mencapai kemajuan dan wawasan, para guru perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap terhadap pelajar seperti mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar, bersikap adil, memupuk nilai murni. Tanggungjawab terhadap ibu bapa juga penting seperti seperti mewujudkan hubungan mesra, menghormati mereka, tidak dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi mereka dan memberi maklumat kepada mereka untuk kepentingan anak-anak mereka. Seterusnya tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara seperti mengelak dari menyebar perkara negatif, menghormati masyarakat setempat serta menggalakkan kerjasama dan persefahaman. Dan akhirnya tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion seperti mengelak dari membuat kenyataan negatif, tidak melibat diri dalam kegiatan yang menjejaskan kepercayaan masyarakat serta membantu rakan sejawat.

1.4 RUMUSAN/CADANGAN

Secara rumusannya, dalam dunia pendidikan yang semakin canggih seiring dengan perkembangan teknologi, seseorang guru tidak boleh lari daripada cabaran yang makin hebat sama ada dalam bilik darjah ataupun sekolah secara amnya. Tugas mendidik dan mengajar di sekolah perlu dilaksanakan bagi memastikan wawasan yang ingin dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) supaya menjadi rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkupayaan dalam mencapai Wawasan 2020. Oleh hal yang demikian, cabaran profesion yang datang perlu disahut oleh seorang guru sama ada cabaran dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada muridnya dan dasar-dasar yang telah ditetapkan dalam sistem pendidikan walaupun sosiologi sekolah tidak memberangsangkan. Itu tugas dan tanggungjawab seorang guru di sekolah rendah.

Setiap dari kita juga mestilah memahami bahawa pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama iaitu mengajar, mendidik serta merubah manusia yang bernama pelajar daripada keadaan tidak mengenal huruf, mengira dan membaca kepada celik huruf, bijak dan menjadi manusia berjaya. Tapi kenapa kini pandangan masyarakat terhadap guru dan profesionnya mula berubah. Jika dulu mereka dipandang tinggi tapi kini seakan-akan terpinggir. Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini menuntut perubahan perspektif masyarakat terhadap kerjaya ini. Profesion keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi sesiapa saja kerana hanya mereka mempunyai kualiti, berketerampilan, kewibawaan, kelayakan, minat. Iltizam, dan berjiwa pendidik layak menjadi guru. Di samping menuntut kesungguhan dan tanggungjawab guru dalam mengharungi cabaran di era globalisasi, pemantapan kebajikan dan kerjaya harus diberikan penekanan sewajarnya.

3 comments: