Pages

Sunday 2 September 2012

Isu 1 : Kekurangan Guru Sukar Diatasi



            Berdasarkan berita Utusan bertarikh 18 Jun 2012, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan masih gagal menyelesaikan sepenuhnya masalah kekurangan guru di Negara ini. Timbalan Perdana Menteri berkata, masalah kekurangan guru merupakan isu yang acap kali dibangkitkan di Kementerian Pelajaran disebabkan persaraan guru dan masalah penempatan guru terutama apabila terdapat arahan pertukaran guru.

            Namun, isu kekurangan guru ini menjadi tanda tanya apabila berlakunya kes pembekuan penempatan guru. Pada tahun 2010, siswazah pendidikan (perguruan) khususnya lepasan IPTA tempatan berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat untuk menjadi guru ekoran pembekuan penempatan guru-guru baru di sekolah-sekolah seluruh semenanjung. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Zakaria Kasa semasa ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam ‘Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia’ anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa.

            Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran, Muhd Puad Zarkashi mendakwa kononnya masalah penempatan ini terjadi ekoran wujudnya lambakan guru di IPTA tempatan. Walhal, Tan Sri Muhyiddin Yassin kira-kira setahun lepas pernah menguar-uarkan bahawa berlakunya kekurangan guru khususnya guru lelaki sehingga mencapai angka ribuan (melebihi sepuluh ribu). Adalah mustahil kekosongan itu telah dipenuhi dalam masa setahun dan kini pada tahun 2012 berlaku kembali isu kekurangan guru sukar diatasi. Hal ini memandangkan sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak masih lagi mengalami kekurangan tenaga pengajar. Jikalau penempatan tersebut dibekukan, sudah semestinya berlaku kesukaran kepada pihak sekolah untuk memenuhi tuntutan mana-mana mata pelajaran yang memerlukan perkhidmatan guru ini.      

            Menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, pihak kementerian terpaksa mengambil kira pelbagai perkara termasuk faktor sosial yang dibangkitkan oleh guru selain menyentuh isu kemanusiaan. Kalau guru itu perempuan, dan sudah berkahwin, lalu ditukarkan, dia akan mengambil faktor sosial seperti rumah tangga, suami dan sebagainya. Soal-soal sebegini, menyebabkan kerajaan tidak dapat memenuhi tuntutan sebenar. Oleh itu, isu kemanusiaan berbangkit  menyebabkan kita berhadapan dengan masalah untuk melaksanakannya dengan lebih cekap. Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin berkata, guru yang terbabit dalam perpindahan juga mengemukakan rayuan yang turut melibatkan sokongan pelbagai pihak termasuk orang politik.

            Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata: apabila arahan pindah dikeluarkan, pasti ada rayuan, dan kadang-kadang orang politik menyertakan surat sokongan agar tidak memindahkan mereka kerana khidmat mereka diperlukan. Beliau berkata lagi, isu kekurangan guru tidak boleh diatasi sepenuhnya, namun kementerian akan mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan masalah tersebut di peringkat organisasi dan pentadbiran. Katanya lagi, beliau percaya melalui kajian yang dibuat ketika ini, kerajaan akan melihat balik soal organisasi di peringkat pentadbiran pendidikan agar ia dapat diselesaikan.

             Bagi mengatasi masalah kekurangan guru, kerajaan akan mengambil pendekatan proaktif dengan menghantar guru-guru berasal dari Sabah dan Sarawak mengajar di negeri masing-masing dalam usaha mengatasi masalah kekurangan guru di kedua-dua negeri tersebut. Tindakan kerajaan yang dibuat ini, mendesak agar lebih ramai anak tempatan mengajar di negeri kelahiran sendiri sekaligus mengurangkan pengambilan guru dari Semenanjung. Tindakan ini telah dijalankan apabila saya mendapati junior Kos Bahasa Arab kini, kebanyakkan diambil dari Sabah dan Sarawak. Mereka mendapat latihan perguruan dari Institut Perguruan Kampus Tuanku Bainun sendiri. Latihan khusus Ijazah yang di peroleh dari Semenanjung dan besar kemungkinan akan berkhidmat balik ke tanah tumpah darah mereka masing-masing. Pada dasarnya, kerajaan bersetuju guru berasal dari Sabah dan Sarawak ditempatkan di kedua-dua negeri itu kerana mereka lebih mudah memahami dan serasi dengan persekitaran fizikal serta budaya setempat mereka sendiri.

            Hakikatnya Sabah dan Sarawak masih juga memerlukan guru dari Semenanjung, terutama guru pakar berikutan  mata pelajaran kritikal terutama Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris yang masih belum mampu diisi guru tempatan. Tindakan melantik anak tempatan untuk mengajar di negeri tanah tumpah sendiri memang efektif kerana mereka lebih memahami keadaan dan penduduk setempat, namun tidak semua subjek mempunyai guru yang terlatih dari kalangan anak tempatan yang mencukupi.

            Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut akan dilakukan secara berperingkat memandangkan terdapat kekurangan guru pada masa ini. ‘Ini akan mengambil masa kerana kita tidak boleh tukar guru dari Semenanjung (yang bertugas di Sabah dan Sarawak) balik ke Semenanjung dan Sabah balik ke Sabah kerana bilangan (guru) pun tidak mencukupi,’ katanya.

            Guru tempatan yang berkhidmat di Negeri bawah bayu dan Bumi Kenyalang ini seharusnya diberi peluang mengikuti latihan lanjutan perguruan seterusnya berpeluang menjadi guru pakar dalam mata pelajaran berkenaan pada masa hadapan. Kebanyakan guru tempatan tidak terdedah kepada kursus lanjutan bagi melahirkan guru pakar berbanding peluang yang terbuka luas ditawarkan untuk guru semenanjung. Sebaliknya, guru semenanjunglah yang terpaksa dihantar untuk menyeberangi Laut China Selatan bagi memajukan dan menaik taraf guru-guru tempatan di kedua buah negeri ini.

            Sungguhpun begitu, guru dari Semenanjung yang baru menamatkan pengajian  di universiti atau institusi pendidikan, yang dihantar mengajar di Sabah dan Sarawak, sejurus selepas tiga atau lima tahun, mereka akan memohon pulang ke Semenanjung dan diganti guru baru. Justeru menyebabkan dua negeri itu, terus ketinggalan kerana mereka sentiasa menerima guru baru yang kurang berpengalaman, manakala guru berpengalaman pulang ke tanah tumpah darah mereka di semenanjung.         

            Realitinya, bagi guru tempatan yang berpengalaman dan cemerlang pula, kebanyakkannya ditawarkan ke jawatan yang lebih tinggi seperti pegawai pelajaran, pengetua, guru besar, dan penolong kanan sedangkan sepatutnya mereka melanjutkan kursus pendidikan untuk menjadi guru pakar. Seharusnya, kepakaran itu diperturunkan menerusi program mentor mentee untuk mendidik guru muda yang dengan sendirinya pada masa hadapan akan berkembang dan mewujudkan lebih ramai guru pakar untuk subjek kritikal di kedua-dua negeri terbabit. Kehadiran guru pakar dari Semenanjung juga sebenarnya akan membuka ruang kepada guru tempatan menimba ilmu dan pengetahuan daripada mereka untuk melahirkan pelajar cemerlang.

            Jika kita teliti, guru dari Sabah dan Sarawak juga agak kurang yang menjadi pembuat soalan dan pemeriksa kertas peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang sekaligus membataskan pengalaman mereka menjadi guru pakar dalam bidang masing-masing.

            Pengerusi Jawatankuasa Bersama, Persatuan-Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, Wiliam Gani Bina mahu lebih ramai anak tempatan di kedua-dua negeri ini, dilatih menjadi guru bagi memastikan sektor pendidikan berkembang di negeri terbabit. Beliau yang juga Presiden Kesatuan Sarawak (STU) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus pendidik Sabah dan Sarawak meliputi anak tempatan direalisasikan segera. Beliau juga mencadangkan penubuhan dua IPG baru di Sarawak untuk melatih lebih ramai guru muda untuk mengisi kekosongan yang ada dan mencadangkan pengambilan guru di kedua negeri berkenaan.         

            Namun, Yang Dipertua Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Bumiputera Sabah (P4SBS), Hamid Abdul Rahmat, pula berpendapat Sabah dan Sarawak masih memerlukan guru dari negeri lain sejajar gagasan 1 Malaysia, apatah lagi jika ia menyumbang kecemerlangan pelajar. Berhubung dengan membina Institut Pendidikan Guru (IPG) Baru di Sabah dan Sarawak, Kementerian Pelajaran Malaysia berpandangan tiada keperluan buat masa ini, kerana IPG sedia ada masih berupaya melatih bakal guru untuk keperluan pendidikan Negara. Selain itu, pembinaan sesebuah IPG tidak hanya khusus untuk masyarakat setempat, tetapi menjurus kepada memenuhi keperluan pendidikan guru bagi seluruh Negara. Oleh itu, faktor lokasi IPG dibina di Sarawak dan penubuhannya dilihat tidak begitu kritikal dalam hal ini,

            Latihan guru pula, merupakan suatu usaha yang berterusan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. ‘Sudah tiba masanya kerajaan menggandakan usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan mencukupi supaya mereka dapat ditempatkan di pedalaman dan luar Bandar’, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri ini berkata, ia selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat global, keperluan semasa serta gagasan 1 Malaysia demi merealisasikan apa yang digariskan dalam petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Pelajaran. Justeru, satu dasar penempatan guru yang responsif kepada keperluan rakyat perlu disediakan’ katanya lagi, semasa berucap merasmikan Persidangan Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

            Dalam situasi yang ideal, penempatan guru tempatan bagi sesebuah negeri mungkin menjadi satu kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu keperluan guru. Pemilihan anak tempatan Sabah dan Sarawak untuk menjalani latihan IPG di Semenanjung seperti amalan sekarang, harus dilihat sebagai satu perkara yang positif khususnya bagi anak tempatan ini untuk menimba pengalaman dan  pendedahan yang amat bermakna dalam pembangunan profesionalisma keguruan mereka sendiri. Sejajar dengan matlamat gagasan 1 Malaysia yang diperjuangkan oleh kepimpinan Negara, dari aspek jangka panjang, Kemenerian Pelajaran Malaysia berpandangan bahawa bagi memastikan lebih ramai guru tempatan terlatih di Sabah dan Sarawak, minat golongan belia tempatan perlu terus dipupuk untuk menyertai profesionalisme keguruan.

            Tambahan pula, bagi guru yang telah dihantar ke Sabah dan Sarawak, kerajaan akan menimbangkan untuk mewajibkan semua guru bertugas di kawasan pedalaman antara tiga hingga lima tahun daripada tempoh perkhidmatan mereka. Timbalan Perdana Menteri, Tan sri Muhyiddin Yassin berkata kumpulan sasaran yang akan menyahut cabaran itu disasarkan kepada guru-guru yang masih belum bekeluarga. Katanya, langkah itu akan menjadi dorongan dan cabaran baru buat warga pendidik untuk bertugas di kawasan pedalaman di atas dasar khidmat sosial kepada Negara. Beliau berkata, cadangan itu, bertujuan mengatasi masalah penempatan guru di kawasan pedalaman yang menjadi salah satu cabaran besar yang dihadapi Kementerian Pelajaran pada masa ini. Dalam tempoh 30 tahun perkhidmatan, mungkin antara tiga hingga lima tahun dari tempoh itu, mereka perlu memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman. Ini sebagai satu kewajiban, bukan sebagai satu pilihan kata Tan Sri Muhyiddin, sewaktu ditemubual dalam rancangan Agenda Awani yang disiarkan oleh Stesyen televisyen Astro.

            Kementerian juga memberi pelbagai insentif untuk mengekalkan guru berpengalaman di pedalaman. Kementerian Pelajaran Malaysia, melaksanakan pelbagai strategi termasuk menempatkan suami isteri di sekolah yang sama atau berhampiran di Sabah dan Sarawak. Semasa mengisi borang penempatan guru secara online juga, guru-guru pelatih diingatkan dalam aku janji untuk tidak mengaitkan status perkahwinan dengan sebarang isu penempatan yang telah ditaqdirkan untuk berkhidmat pada masa akan datang.  

            Di samping itu, pemberian elaun Khas mengikut Lokasi Tahap Kesusahan (EKMLTK) diberikan sebagai salah satu insentif unuk mereka yang telah berkhidmat jauh dari Tanah Air dan sebagai salah satu pengiktirafan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan pelajar pedalaman dan luar Bandar seluruh Negara. Kerajaan sebenarnya telah menyediakan beberapa bentuk galakan untuk guru bertugas di kawasan pedalaman seperti elaun sara hidup maksimum RM 1500 sebulan.

            Sungguhpun begitu, Kementerian Pelajaran Malaysia berpandangan, bahawa faktor siapa dan dari mana asal negeri guru itu, tidak begitu penting. Walau di sekolah mana pun mereka ditugaskan baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, apa yang lebih penting adalah komitmen dan profesionalisme guru yang jitu terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan khususnya dalam mendidik demi melakar masa depan yang lebih cemerlang buat anak bangsa.

              Justeru, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Bahagian Pendidikan Guru perlu bijak merancang tindakan berkesan dalam melatih guru setiap tahun mengikut pengkhususan dan keperluan guru bagi memenuhi permintaan baru dan penggantian guru bersara pada masa hadapan. Faktor ini membantu masalah kekurangan guru.

            Selain itu, bagi menyelesaikan masalah jumlah yang sepatutnya dihantar ke luar Bandar tidak menepati nisbah yang ditetapkan, kia haruslah melihat kepada punca utama. Pertama, disebabkan pengambilan ramai guru pelatih perempuan. Ramai di kalangan guru pelatih perempuan, tidak dapat dihantar ke luar Bandar seperti yang dirancang kerana satus perkahwinan. Hal ini kerana guru perempuan diberi keutamaan dan kelonggaran untuk mengikut suami. Oleh itu, ramai guru pelatih perempuan yang merancang kahwin awal bagi mengelak dihantar ke pedalaman termasuk kawasan tertentu di Sabah dan Sarawak. Selain itu, ramai di kalangan professional lain juga, suka memilih calon isteri dari kalangan guru kerana faktor tertentu, antaranya seperti kerja separuh hari dan cuti sekolah panjang. Kementerian harus menangani isu ini segera iaitu dengan menambahkan bilangan guru pelatih lelaki. Dalam keadaan permohonan berlebihan kini, masalah memilih guru pelatih lelaki tidak rumit,iaitu dengan memastikan syarat akademik yang diperoleh, tidak di bawah syarat minimum ditetapkan.

            Punca yang kedua ialah faktor pengaruh. Kebanyakannya guru baru, menggunakan hubungan atau ‘kabel’ untuk mempengaruhi penempatan yang mereka inginkan. Campur tangan pihak berpengaruh menyebabkan perancangan asal menempatkan guru terpaksa dirombak semula. Malah, ada pelatih yang sudah mendapat penempatan, tetapi kerana kuat hubungan kabelnya, penempatan asal di luar Bandar itu ditarik balik dan digantikan penempatan baru di Bandar. Bagi menangani masalah kabel, ia dapat dilaksanakan dengan dua pendekatan. Guru pelatih perlu diberi kesedaran mengenai tanggungjawab sosial sebagai seorang guru. Perkhidmatan mereka selama beberapa tempoh tertentu diperlukan di sekolah pedalaman. Syarat bertulis dimasukkan di dalam borang penempatan, bahawa guru boleh dihantar ke mana-mana saja untuk tempoh beberapa tahun. Mereka tidak boleh menolak dan ia bukan suatu pilihan, malah berkewajiban untuk menabur khidmat bakti seperti kata Timbalan Perdana Menteri dalam akbar utusan bertarikh 2 Mac 2010 yang lalu. 

            Pihak yang mempunyai kuasa dan pengaruh hendaklah dilarang sama sekali menggunakan pengaruh serta kedudukan untuk mencampuri hal ehwal penempatan guru baru. Hal ini termasuk pembabitan tokoh politik dan pegawai dalam Kementerian Pelajaran daripada yang rendah sampailah ke peringkat paling tinggi. Perkara ini sukar dilaksanakan namun tidak mustahil. Justeru, Kementerian Pelajaran hendaklah mencari pendekatan yang bijaksana dan tegas. Cara yang praktikal adalah dengan mengamalkan kaedah penempatan guru baru secara telus dan terbuka. Sebarang rayuan tidak diterima kecuali kes yang munasabah akan diberi pertimbangan. Namun, ia mestilah mengikut prosedur yang sepatutnya iaitu melalui panel rayuan khas, yang ditubuhkan untuk mempertimbangkan kes rayuan, bukan budi bicara orang tertentu. Dasar tegas mengikut prosedur yang ditetapkan akan mewujudkan sistem penempatan yang adil, sekali gus dapat mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah tertentu di pedalaman. Tanpa tindakan drastik, masalah kekurangan guru akan berterusan tanpa penghujung.

            Bagi memastikan profesionalisme pendidikan guru di Sabah dan Sarawak berada di landasan yang betul dan dijamin kualitinya, pihak kementerian perlu menyediakan pelbagai kemudahan dan mewajibkan bakal guru terlatih menjalani pelbagai kemahiran baharu sesuai dengan arus globalisasi dan keperluan kini. Guru professional juga berusaha untuk meningkakan profesionalisme perkhidmatan mereka dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan yang perlu diperbanyakkan di Sabah dan Sarawak.

            Institusi pendidikan pula, perlu melahirkan guru professional yang meletakkan tanggungjawab dan amanah yang dipikul dihadapan mendahului kepentingan peribadinya dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggannya iaitu murid. Timbalan Perdana Menteri mengatakan, ’jika semua hendak ditempatkan di kawasan Bandar, tidak ada yang bersedia berkorban mendidik anak-anak di pedalaman, maka ia adalah satu kepincangan dalam sisem pendidikan. apa yang lebih penting adalah kesungguhan dan kesediaan warga pendidik untuk berkorban demi anak bangsa. Guru inilah yang dilahirkan dalam IPG iaitu guru yang bersedia berkhidmat walau dimana mereka ditempatkan seperti kata pepatah, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke daratan menjadi gunung, dicampak ke langit menjadi bintang yang menerangi dan memberikan manfaat pada sekitarnya.


No comments:

Post a Comment