1.0 PENGENALAN
Mengulas mengenai laporan akhbar Berita
Harian bertarikh 10 November 2011 bertajuk “Pendidikan perlu penambahbaikan”,
Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama pertubuhan antarabangsa iaitu
UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB) telah merancang untuk
menambahbaik sistem pendidikan negara agar tidak terkebelakang berbanding
dengan negara jiran yang lain. Menurut YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran suatu pasukan petugas yang akan
dibentuk oleh kementerian untuk meneliti pencapaian system pendidikan dalam
negara dari segi aspek kelebihan dan kelemahan akan dibuat dalam masa yang
terdekat. Dengan kerjasama yang dibentuk oleh pihak Kementerian Pelajaran
dengan UNESCO seperti yang disebutkan di dalam Berita Harian bertarikh 18
November 2011 menunjukkan keperluan kepada penambahbaikan sistem pendidikan
dari sudut dasar pelajaran agar terus maju atau selaras dengan negara-negara
jiran.
Terdapat dua kaedah utama yang
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menambahbaik dasar
pelajaran negara iaitu menerusi kerjasama dengan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan,
Sains dan Kebudayaan PBB), dan melalui Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012
(DNPN). Kedua-dua kaedah ini dilihat dapat membantu memberi buah fikiran dan
idea yang sesuai dengan penambahbaikan yang diinginkan terhadap pendidikan
negara (Utusan Malaysia,2012)
Menurut Loke Yim Pheng, Setiausaha Agung
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), beliau mengatakan bahawa kerajaan
perlu memastikan rombakan sistem pendidikan terbabit memberi faedah terutama
kepada semua pelajar. Selain itu, pihak yang bertanggungjawab juga perlu perlu
mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan, kesatuan guru serta
pemimpin antarabangsa yang berpengalaman dalam sektor pendidikan.(Berita Harian
Online, 17 Mac 2012) Di samping itu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia
(UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, yang juga dilihat bersetuju dengan
penambahbaikan dalam pendidikan ini menyatakan bahawa sistem pendidikan yang
menekankan kepada meritokrasi atau penilaian berasaskan peperiksaan sebenarnya
telah menafikan bakat serta pembinaan karakter dalam diri pelajar. Beliau
berpandangan penilaian berasaskan peperiksaan menyebabkan pelajar tidak memiliki
kepelbagaian dari segi kebolehan malah generasi itu disifatkan kaku dan tidak
membangun.(Berita Harian Online,17 Mac 2012) Oleh yang demikian rombakan yang
berlaku seharusnya lebih bersepadu dan seimbang agar memberi penekanan terhadap
meritokrasi berasaskan bakat dan kebolehan serta pembinaan karakter yang
sempurna.
Menurut Datuk Dr Rosli Mohamed (Berita
Harian,2011) kajian semula terhadap dasar pelajaran negara daripada peringkat
pra sekolah sehingga pendidikan tinggi dibuat bagi memastikan semua rakyat
Malaysia mengetahui kemampuan mereka, serta bersedia untuk memenuhi tenaga
kerja pada masa depan dengan kemahiran yang diperlukan selaras dengan pelbagai
program transformasi kerajaan untuk mencapai tahap negara maju dan
berpendapatan tinggi menjelang 2020. Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian
Pelajaran, Abdullah Md Din berkata kementerian sentiasa menyemak pendidikan
Islam yang diajar di sekolah rendah dan menengah bagi memastikan ia kekal
relevan mengikut arus perubahan semasa.(Bernama, 14 Disember 2011)
Turut
bersama bersetuju dengan hasrat untuk melihat penambahbaikan dalam sistem
pendidikan ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang
menyatakan keperluan untuk melakukan rombakan atau transformasi dalam sistem
pendidikan negara terutama sekali dalam aspek mengajar dan cara belajar oleh
guru dan murid. Corak pendidikan yang bersifat ‘hafalan’ dilihat sudah tidak
relevan kerana tiada kemahiran dalam proses berfikir dalam diri pelajar untuk
digunakan bagi kepentingan diri sendiri dalam menempuh cabaran globalisasi hari
ini. (Berita Harian Online, 14 Mac 2012) Di samping itu, Timbalan Menteri
Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi juga meminta guru dalam sistem pendidikan
Islam mencari kaedah pembelajaran yang dapat menyeimbangkan pembangunan rohani
pelajar dengan keperluan modal insan. (Bernama, 4 Julai 2012) Melalui perubahan
yang diinginkan oleh pihak Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri maka perkara
berkaitan dengan penambahbaikan dalam sistem pendidikan Islam menjadi topik
utama kepada perbincangan.
2.0 PERKEMBANGAN (PUNCA-PUNCA BERLAKU)
Bagi mengenalpasti bahawa betapa perlunya
rombakan atau penambahbaikan di dalam sistem pendidikan Islam di sekolah,
adalah menjadi keperluan kepada semua pihak untuk membuat rujukan terhadap
kemenjadian masalah sosial yang semakin hari semakin membarah dari sehari ke
sehari. Statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Statistik Bukit Aman mendapati
bahawa walaupun masalah sosial atau jenayah yang melibatkan penjenayah seawal
umur 7 tahun menunjukkan penurunan kepada 1,847 orang pada tahun ini berbanding
angka yang lebih besar yang ditunjukkan pada tempoh yang sama pada tahun 2009. Di
samping itu, dengan berita terbaru daripada Sekolah Harapan di Melaka yang telah
ditubuhkan September tahun lalu berjaya melahirkan 83 bayi.Hal ini menunjukkan
masalah sosial yang berlaku adalah menjadi semakin runcing untuk diselesaikan
oleh semua pihak termasuklah ibu bapa, guru, pentadbir sekolah dan masyarakat
umum yang rata-rata menganggap masalah sosial yang berlaku ini ada perkaitan
dengan kurangnya penghayatan murid dalam mempelajari Pendidikan Islam di
sekolah. (Berita Harian Online, 2 September 2012)
Masalah sosial yang berlaku dikalangan
remaja atau boleh disifatkan sebagai pelajar sekolah masih berada pada tahap
yang membimbangkan. Menurut Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia
(MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, pembabitan kanak-kanak, pelajar dan remaja dalam
kes jenayah merupakan satu trend yang membimbangkan kerana ada pelajar seawal
15 tahun telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah, berjudi serta pelbagai
gejala sosial lain. Melihatkan terhadap kepelbagaian masalah yang berlaku ini
sudah pastinya perkara yang sepatutnya diberi perhatian oleh pelbagai pihak
adalah apakah yang menjadi punca kepada berlakunya permasalahan sosial yang
semakin membarah terhadap golongan remaja atau boleh ditujukan kepada pelajar
di negara kita ini?
Menurut seorang tokoh agama yang dikenali
di negara kita, Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, mantan pegawai agama istana
negara, masalah sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah adalah
disebabkan oleh ajaran dan didikan oleh ibu bapa di rumah. Menurut beliau lagi,
kebanyakan pelajar yang terlibat dengan masalah sosial adalah datangnya
daripada keluarga yang berantakan iaitu pelajar yang mempunyai keluarga yang
bermasalah daripada aspek perhatian ibu bapa yang kurang, kerakusan ibu bapa
bekerja tanpa menghiraukan anak-anak dan banyak lagi perkara yang berlaku hasil
daripada didikan dan ajaran oleh ibu bapa. (Berita Semasa,18 Mei 2010)
Selain daripada itu, jika dilihat
daripada sudut kurikulum pendidikan itu sendiri sebenarnya telah diresapi
dengan pemikiran sekularisme dan dualisme dalam pendidikan yang diajarkan.
Menurut Profesor Hasan Langgulung (1988), kursus Asas Pendidikan atau Teras
Pendidikan Profesional tidak diajar menurut perspektif Islam kerana dengan
ketiadaan pemurnian terhadap pendidikan berkenaan telah disekularisasikan.
Dengan pemisahan Pendidikan Islam yang hanya meliputi 1 subjek sahaja tanpa
diserapkan di dalam teras pendidikan professional seperti di dalam subjek sains
dan matematik maka ini memperlihatkan bahawa pemisahan agama daripada kehidupan
atau disebut sekularisasi dalam pendidikan adalah jelas berlaku dalam sistem
pendidikan di negara kita. Hal ini menyebabkan kekeliruan yang berlaku terhadap
kefahaman pelajar terhadap pendidikan yang dilihat tiada diintegrasi dengan
ilmu pendidikan islam.
Di samping itu, punca terjadinya isu ini
adalah disebabkan remaja Islam terutamanya pelajar sekolah ketandusan ilmu
kerohanian.(Berita Harian Online,2012).Ketiadaan guru atau masyarakat yang
berilmu untuk berdamping dengan pelajar ini menyebabkan pengaruh negatif
terutamanya media massa banyak meracuni pemikiran mereka seterusnya
meminggirkan ilmu pendidikan Islam yang pernah dipelajari di sekolah. Di tambah
pula dengan teknologi komunikasi tanpa batasan pada hari ini memudahkan bagi
pelajar ini untuk membuat akses kepada maklumat yang tidak baik semudah 1 klik
sahaja. Kajian yang dilaksanakan oleh Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2010 mendapati bahawa 22 peratus
remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah mahupun di kafe
siber. (Kosmo Online,21 Julai 2010) Penglibatan remaja Melayu yang terus
menerus melayari laman web tanpa kawalan ini menyebabkan keperluan kepada penambahbaikan
dalam Pendidikan Islam agar ilmu yang dipelajari oleh mereka dapat dihayati
dengan baik dan sempurna sepanjang kehidupan mereka.
Seterusnya, proses penambahbaikan dalam
subjek Pendidikan Islam diperlukan agar proses pendidikan yang dilaksanakan
dapat membina akhlak para pelajar secara berterusan.( Tajul Arffin Nordin,1990)
Masalah yang sering berlaku dalam pendidikan pada masa kini ialah ketiadaan
penghasilan manusia yang mempunyai keperibadian yang mulia. Sekiranya ada
sekalipun berjaya melahirkan ramai professional atau teknokrat yang
berkemahiran dan berintelektual kebanyakannya mempunyai masalah dari segi
sahsiah dan akhlaknya. Dengan pelbagai masalah yang berlaku meliputi rasuah,
kronisme,pecah amanah,jenayah, maksiat dan lain-lain lagi menunjukkan bahawa
pendidikan yang dilaksanakan sehingga hari ini belum mampu untuk membina
manusia yang mempunyai akhlak dan keperibadian yang tinggi.
Menyedari akan hal yang demikian,
ketiadaan menampakkan unsur kegemilangan dalam Pendidikan Islam pada masa kini
memerlukan perubahan dan penambahbaikan yang menyeluruh dalam sistem yang
ditempuh oleh rakyat Malaysia bermula pendidikan tahap pra sekolah sehinggalah
ke tahap universiti. Keperluan untuk menyusun dan membina semula sistem
pendidikan Islam di negara ini amat diperlukan agar penghayatan amalan Islam
dalam kehidupan dapat diaplikasi dengan sempurna oleh segenap umat Islam
dinegara ini.
3.0 CADANGAN CARA MENGATASI ISU
Bagi
menyelesaikan isu berkaitan pendidikan Islam perlukan penambahbaikan maka beberapa
cadangan telah digariskan bagi membantu mengatasi masalah dan diharapkan dapat
menyelesaikan masalah yang berbangkit terhadap masalah yang semakin membelenggu
masyarakat hari ini.
Bagi
cadangan yang pertama bagi mengatasi isu ini adalah keperluan untuk menerapkan
falsafah pendidikan Islam secara langsung dalam sistem pendidikan. Pembentangan
kertas kerja yang dilaksanakan pada tahun 2012 di dalam seminar transformasi
pendidikan Islam menggariskan bahawa falsafah pendidikan Islam sepatutnya diserapkan
di dalam setiap mata pelajaran yang diajar di sekolah. Menurut Ghazali Darussalam
(2000) nilai-nilai akhlak perlu disertai tidak setakat dibilik darjah dan
terbatas kepada mata pelajaran semata mata. Sebaliknya, ia diperkukuhkan
melalui latihan,gerak kerja kokurikulum dan khidmat masyarakat.
Sebagai
contoh di dalam mata pelajaran Sains, penerapan tentang kewujudan alam adalah
secara semulajadi adalah tidak benar kerana istilah yang sebenarnya adalah
kewujudan alam adalah diciptakan oleh Allah Taala. Contoh lain penerapan
pendidikan Islam di dalam subjek lain adalah seperti di dalam subjek Matematik
dengan mengintegrasikan ilmu pengiraan dengan kewujudan ahli falsafah Islam
yang terkenal seperti Algebra.Dengan pengetahuan pelajar mengenai ahli falsafah
Islam berkenaan maka penghayatan Islam dalam diri pelajar akan meningkat atas
sebab keinginan mencontohi kepakaran sarjana Islam yang berjaya dalam
kehidupan.Keperluan untuk pihak-pihak penggubal kurikulum membuat
penambahbaikan dalam kesemua subjek yang diajar di dalam sukatan pelajaran
dengan penerapan pendidikan Islam secara langsung amat penting agar dapat
menunjukkan bahawa pendidikan Islam dapat difahami dan dihayati sepenuhnya
selaras dengan kenyataan Islam itu sendiri yang bermaksud suatu cara hidup yang
menurut al-Quran dan as-Sunnah.
Seterusnya
bagi cadangan yang kedua pula, keperluan untuk menyepadukan antara Falsafah
Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Kewujudan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan sebagai panduan bagi aktiviti pendidikan di Malaysia
menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara terkehadapan berbanding negara lain
yang tidak mempunyai falsafah pendidikan negara yang jelas. Dengan falsafah
pendidikan kebangsaan yang mengandungi prinsip dan nilai asas secara jelas
dalam mendasari ilmu pendidikan yang paling rendah sehingga ke peringkat yang
tertinggi iaitu university menunjukkan bahawa hasrat untuk mewujudkan insan
yang berilmu, berakhlak mulia serta bertanggungjawab menjadi hasrat utama
kewujudan falsafah berkenaan.
Penggabungan
falsafah pendidikan Islam dan falsafah pendidikan kebangsaan sebenarnya amat
diperlukan agar dapat menjadi bukti bahawa pendidikan tinggi bukan sahaja
sekadar bagi mendapatkan segulung ijazah atau diploma bahkan mempunyai tujuan
yang lebih utama dari segi pembangunan dan kemenjadian diri pelajar secara
syumul dan menyeluruh supaya seimbang keilmuannya tentang dunia dan akhirat
serta dapat melahirkan insan, ahli keluarga,masyarakat serta warganegara yang
didasari dengan falsafah yang digariskan iaitu warganegara yang berilmu,
bertanggunghawab, berakhlak mulia dan berbakti. ( Rohizan Ya et. al, 2012).
Keperluan
bagi masyarakat Malaysia untuk mempunyai falsafah pendidikan Islam yang
disepadukan dengan falsafah pendidikan Kebangsaan dilihat mempunyai
kepentingannya tersendiri kerana falsafah pendidikan Islam ternyata baik dan
sesuai untuk sebarang masa, masyarakat dan tempat serta sehingga detik ini
tiada satu falsafah pendidikan buatan manusia yang dapat menandingi falsafah
pendidikan Islam yang akhirnya menghasilkan konsep Pendidikan Sepadu sebagai
titik mula kepada perubahan yang diinginkan. (Tajul Ariffin Nordin,1990)
Cadangan
ketiga yang diperlukan bagi penambahbaikan dalam pendidikan Islam ialah mengaitkan
Falsafah Pendidikan Islam dengan peranan ibu bapa. Sudah menjadi suatu perkara
lumrah kepada ibu bapa yang berkehendakkan anak-anak mereka menjadi oran yang baik
dan berakhlak mulia ( Rohizan Ya et. al, 2012). Maka, tiada perkataan lain yang
boleh dinisbahkan kepada para ibu bapa yang berkewajipan dan bertanggungjawab
dengan lebih utama untuk mendidik anak-anak berbanding guru-guru di sekolah.
Keperluan bagi ibu bapa untuk berusaha menyediakan persekitaran pembelajaran
yang terbaik bagi anaknya sangat diharapkan terutama sekali di dalam rumah
dengan suasana biah solehah yang secara tidak langsung menjadikan Islam sebagai
cara hidup yang sempurna di dalam kehidupan. Dengan kewujudan suasana bi’ah
solehah ini maka proses pendidikan sempurna dapat dilaksanakan oleh ibu bapa
meliputi kesejahteraan kehidupan, kemahiran yang bermanfaat serta membina acuan
sikap yang positif terhadap pembelajaran di rumah mahupun di sekolah.
Sikap
ibu bapa yang sering menuding jari terhadap guru-guru di sekolah dalam soal
didikan harus dikikis kerana suasana pembelajaran Islam perlu dimulakan oleh
ibu bapa dahulu di rumah berbanding di sekolah sebagai penerus kecemerlangan
anak-anak mereka dengan iklim Islam yang dibawa daripada rumah. Permulaan
tanggungjawab ibu bapa bagi membina sifat dan akhlak yang baik terhadap
anak-anak di rumah banyak membantu pihak sekolah terutamanya guru-guru
Pendidikan Islam dalam usaha menghasilkan generasi yang mempunyai kemenjadian
yang sempurna bukan sahaja daripada aspek akademik yang cemerlang bahkan aspek
sahsiah yang terpuji dan terbilang juga dapat dihasilkan dengan bantuan yang
berterusan daripada pihak ibu bapa. (Robiah Sidin,1998)
Di
samping itu, dalam meneliti keperluan ibu bapa bagi mengisi kelompongan yang
berlaku terhadap anak-anak mereka dalam menyediakan persekitaran pembelajaran
yang positif dan berteraskan kehidupan Islam, peranan guru juga harus dilihat
menjadi keperluan utama bagi memastikan pendidikan Islam melalui penambahbaikan
yang maksimum terhadap murid-murid. Dalam erti kata lain, status dan kualiti
guru Pendidikan Islam perlu dipertingkatkan daripada semasa ke semasa. Oleh
yang demikian, guru seharusnya berusaha untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu
pengetahuan dan ilmu keagamaan. Dalam hal ini, suatu perkara yang perlu
dititikberatkan oleh guru Pendidikan Islam adalah dari segi perwatakan guru di
dalam dan di luar sekolah, seharusnya seseorang yang bergelar guru Pendidikan
Islam mempunyai perwatakan yang berlandaskan Islam di mana sahaj mereka berada
dalam usaha memberikan gambaran yang jelas terhadap murid-murid di sekolah
mahupun di luar sekolah akan kepentingan menjadi manusia yang sentiasa
mengamalkan adab dan ajaran Islam yang baik ( Rohizan Ya et. al, 2012).
Dalam
usaha meningkatkan status dan kualiti guru Pendidikan Islam daripada semasa ke
semasa, sikap dan pengamalan guru di mana sahaja guru berada dalam kehidupan
guru sendiri amat penting kerana segala kelakuan dan perbuatan yang dilakukan
oleh guru akan menjadi penanda aras bagi murid untuk menjadikan guru sebagai
‘role model’ kepada mereka. Penghasilan guru yang dapat mengamalkan sepenuhnya
ilmu yang diperoleh dan didapati mereka dalam kehidupan seharian guru amat
diperlukan bagi memastikan penambahbaikan dalam Pendidikan Islam dapat
diperlihatkan secara jelas kepada murid seterusnya ditiru perihal perbuatan
guru yang baik dalam kehidupan seharian murid. Istilah ‘guru kencing berdiri,
anak murid kencing berlari’ seharusnya dihindarkan oleh guru Pendidikan Islam
kerana sekiranya guru Pendidikan Islam tidak dapat mengamalkan ilmu yang ada
dalam diri dalam kehidupan seharian maka sudah tentu adalah mustahil bagi murid
untuk berubah menjadi lebih baik dalam kehidupan seharian.
Selain
itu, dalam arus pendidikan moden masa kini seringkali kita melihat bahawa
matlamat utama pendidikan adalah untuk memperoleh ilmu, menguasai kemahiran
serta membina sikap yang terpuji. Dalam usaha menambahbaik sistem ini,
seharusnya memerlukan suatu mekanisme perubahan yang berada dalam skala yang
besar iaitu menggantikan matlamat akhir kepada membina sikap yang baik
digantikan dengan matlamat membina akhlak Islam serta perubahan yang paling
utama ialah mendekatkan diri kepada Allah swt. Perubahan matlamat pendidikan
sebegini seharusnya dikaji dengan mendalam dan bersifat mendasari akar umbi
agar generasi yang akan dilahirkan kelak adalah generasi yang berteraskan
al-Quran dan Hadis serta sentiasa memiliki akhlak mulia berasaskan penghulu
manusia iaitu Nabi Muhammad SAW serta sahabat-sahabat baginda yang mempunyai
pekerti yang amat terpuji. (Tajul Ariffin Nordin,1990)
Beberapa
cadangan lain yang perlu dilaksanakan bagi menonjolkan perubahan yang positif
terhadap penambahbaikan dalam Pendidikan Islam antaranya ialah pembentukan
sistem penilaian yang bersesuai dengan objektif pendidikan (Noor Hisham Md
Nawi,2012). Dalam arus pendidikan masa kini, kewujudan kurikulum baru yang
disebut KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) yang baru sahaj dilaksanakan
beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan perkembangan positif dalam arus
pendidikan yang tidak menekankan hasil akhir sahaja seperti penilaian di hujung
semester bahkan penilaian adalah bersifat sepanjang tahun. Walaubagaimanapun,
terdapat beberapa topik atau bab dalam pembelajaran pendidikan Islam yang
memerlukan penilaian yang berstruktur seperti ujian bagi mengetahui setakat
mana pencapaian dan pemerolehan ilmu yang didapati oleh murid. Maka yang
demikian,pengintegrasian antara penilaian sepanjang tahun dan penilaian
berterusan berasaskan amali perlu dilaksanakan kedua-duanya dalam sistem
Pendidikan Islam agar dapat meningkatkan penghayatan murid dalam pembelajaran
Pendidikan Islam seterusnya mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan
seharian.
4.0 RUMUSAN
Penambahbaikan dalam Pendidikan Islam
negara kita pada hari ini memerlukan suatu kekuatan dan kesepaduan yang tinggi
daripada pelbagai pihak meliputi pelajar,guru, ibu bapa, sarjana Islam, menteri
dan semua pihak yang menginginkan terbinanya suatu sistem pendidikan yang dapat
mengubah diri individu secara sempurna sebagai seorang umat Islam yang sentiasa
mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian tanpa melaksanakan
perkara yang ditegah oleh agama.
Sebagaimana perkara yang telah digariskan
oleh sarjana Islam, imam AL-Ghazali suatu ketika dahulu yang mengatakan bahawa:
“Pendidikan bertujuan untuk mendekatkan
diri kepada Allah, bukan pangkat dan bermegah-megah dan janganlah hendaknya
seseorang pelajar itu belajar untuk mencari pangkat,harta, menipu orang-orang
bodoh atau bermegah-megah dengan kawan. Jadi pendidikan itu tidak keluar dari
pendidikan akhlak”
Perkara yang digariskan oleh sarjana
Islam berkenaan menunjukkan bahawa pendidikan seharusnya dapat menjadikan
manusia itu dekat dengan Allah di samping mengenepikan pangkat,harta, dan
penipuan terhadap manusia lain serta menunjukkan bahawa pendidikan akhlak
menjadi asas kepada hasil pendidikan yang sepatutnya diperoleh oleh setiap
individu yang dilahirkan dalam sesebuah sistem pendidikan.
Sistem
pendidikan yang ada pada masa kini seharusnya digubal dengan lebih bai,
sempurna dan tersusun agar dapat mengembalikan semula penghayatan Islam dalam
diri pelajar-pelajar pada hari ini. Pendidikan sepatutnya tidak dipisahkan
antara agama dan dunia sesuai dengan sabda Rasulullah SAW iaitu bekerjalah
untuk duniamu seakan-akan engkau akan hidup selama-lamanya dan bekerjalah
untukakhirat seakan-akan engkau akan mati esok. Masalah sekularisasi sistem
pendidikan dengan memisahkan Pendidikan Islam dari sudut mata pelajaran
seharusnya dikaji semula agar matlamat pendidikan yang sebenar dapat dibina
seterusnya melahirkan lebih ramai sarjana Islam seperti pada zaman kegemilangan
Islam suatu masa yang lalu dengan akhlak yang sempurna dan baik.
Menurut
Prof. Dr. Mohd Athiyah al-Abrasyi dalam bukunya Dasar-dasar pokok Pendidikan
Islam (1974), beliau telah merumuskan bahawa pendidikan moden sekarang ini amat
memerlukan pendidikan Islam iaitu pendidikan idealis yang bersifat kerohanian,
moral dan keagamaan hingga kita belajar itu adalah kerana ilmu dan kelazatan
ilmiah dengan demikian kita terlepas dari keruntuhan, kejahatan dan kemiskinan,
keserakahan, penjajajahan dan keangkara-murkaan serta peperangan dengan segala
bencana yang ditimbulkannya demi untuk menikmati suatu kehidupan yang abadi,hidup
bersama bantu-membantu dalam suasana demokrasi dan bahagia. Kata-kata beliau
ini menunjukkan akan peri pentingnya sistem pendidikan Islam dinegara kita ini
menjalani penambahbaikan selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri kita yang
menginginkan kemahiran dalam proses berfikir dalam diri pelajar dapat digunakan
bagi kepentingan diri sendiri dalam menempuh cabaran globalisasi hari ini.
(2850 patah perkataan)
This is really good . I want to take all this info and put it in my islamic studies essai. For my final. Thank you!
ReplyDelete