Berdasarkan berita Utusan bertarikh 18
Jun 2012, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan masih gagal
menyelesaikan sepenuhnya masalah kekurangan guru di Negara ini. Timbalan
Perdana Menteri berkata, masalah kekurangan guru merupakan isu yang acap kali
dibangkitkan di Kementerian Pelajaran disebabkan persaraan guru dan masalah
penempatan guru terutama apabila terdapat arahan pertukaran guru.
Namun,
isu kekurangan guru ini menjadi tanda tanya apabila berlakunya kes pembekuan
penempatan guru. Pada tahun 2010, siswazah
pendidikan (perguruan) khususnya lepasan IPTA tempatan berkemungkinan besar
terpaksa melupakan hasrat untuk menjadi guru ekoran pembekuan penempatan
guru-guru baru di sekolah-sekolah seluruh semenanjung. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor
Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor
Dr. Zakaria Kasa semasa ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam
‘Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia’ anjuran Persatuan Mahasiswa
Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA)
UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran, Muhd Puad
Zarkashi mendakwa kononnya masalah penempatan ini terjadi ekoran wujudnya
lambakan guru di IPTA tempatan. Walhal, Tan Sri Muhyiddin Yassin kira-kira
setahun lepas pernah menguar-uarkan bahawa berlakunya kekurangan guru khususnya
guru lelaki sehingga mencapai angka ribuan (melebihi sepuluh ribu). Adalah
mustahil kekosongan itu telah dipenuhi dalam masa setahun dan kini pada tahun
2012 berlaku kembali isu kekurangan guru sukar diatasi. Hal ini memandangkan sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak
masih lagi mengalami kekurangan tenaga pengajar. Jikalau penempatan tersebut
dibekukan, sudah semestinya berlaku kesukaran kepada pihak sekolah untuk
memenuhi tuntutan mana-mana mata pelajaran yang memerlukan perkhidmatan guru
ini.
Menurut Timbalan
Perdana Menteri lagi, pihak kementerian terpaksa mengambil kira pelbagai
perkara termasuk faktor sosial yang dibangkitkan oleh guru selain menyentuh isu
kemanusiaan. Kalau guru itu perempuan, dan sudah berkahwin, lalu ditukarkan,
dia akan mengambil faktor sosial seperti rumah tangga, suami dan sebagainya.
Soal-soal sebegini, menyebabkan kerajaan tidak dapat memenuhi tuntutan sebenar.
Oleh itu, isu kemanusiaan berbangkit menyebabkan
kita berhadapan dengan masalah untuk melaksanakannya dengan lebih cekap. Menteri
Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin berkata, guru yang terbabit dalam perpindahan juga
mengemukakan rayuan yang turut melibatkan sokongan pelbagai pihak termasuk
orang politik.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata: apabila arahan pindah dikeluarkan, pasti ada rayuan, dan kadang-kadang orang politik menyertakan surat sokongan agar tidak memindahkan mereka kerana khidmat mereka diperlukan. Beliau berkata lagi, isu kekurangan guru tidak boleh diatasi sepenuhnya, namun kementerian akan mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan masalah tersebut di peringkat organisasi dan pentadbiran. Katanya lagi, beliau percaya melalui kajian yang dibuat ketika ini, kerajaan akan melihat balik soal organisasi di peringkat pentadbiran pendidikan agar ia dapat diselesaikan.
Bagi mengatasi masalah kekurangan guru,
kerajaan akan mengambil pendekatan proaktif dengan menghantar guru-guru berasal
dari Sabah dan Sarawak mengajar di negeri masing-masing dalam usaha mengatasi
masalah kekurangan guru di kedua-dua negeri tersebut. Tindakan kerajaan yang
dibuat ini, mendesak agar lebih ramai anak tempatan mengajar di negeri
kelahiran sendiri sekaligus mengurangkan pengambilan guru dari Semenanjung.
Tindakan ini telah dijalankan apabila saya mendapati junior Kos Bahasa Arab
kini, kebanyakkan diambil dari Sabah dan Sarawak. Mereka mendapat latihan
perguruan dari Institut Perguruan Kampus Tuanku Bainun sendiri. Latihan khusus
Ijazah yang di peroleh dari Semenanjung dan besar kemungkinan akan berkhidmat
balik ke tanah tumpah darah mereka masing-masing. Pada dasarnya, kerajaan
bersetuju guru berasal dari Sabah dan Sarawak ditempatkan di kedua-dua negeri
itu kerana mereka lebih mudah memahami dan serasi dengan persekitaran fizikal
serta budaya setempat mereka sendiri.
Hakikatnya Sabah
dan Sarawak masih juga memerlukan guru dari Semenanjung, terutama guru pakar
berikutan mata pelajaran kritikal
terutama Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris yang masih belum mampu diisi
guru tempatan. Tindakan melantik anak tempatan untuk mengajar di negeri tanah
tumpah sendiri memang efektif kerana mereka lebih memahami keadaan dan penduduk
setempat, namun tidak semua subjek mempunyai guru yang terlatih dari kalangan
anak tempatan yang mencukupi.
Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut akan dilakukan
secara berperingkat memandangkan terdapat kekurangan guru pada masa ini. ‘Ini
akan mengambil masa kerana kita tidak boleh tukar guru dari Semenanjung (yang
bertugas di Sabah dan Sarawak) balik ke Semenanjung dan Sabah balik ke Sabah
kerana bilangan (guru) pun tidak mencukupi,’ katanya.
Guru tempatan yang
berkhidmat di Negeri bawah bayu dan Bumi Kenyalang ini seharusnya diberi
peluang mengikuti latihan lanjutan perguruan seterusnya berpeluang menjadi guru
pakar dalam mata pelajaran berkenaan pada masa hadapan. Kebanyakan guru
tempatan tidak terdedah kepada kursus lanjutan bagi melahirkan guru pakar
berbanding peluang yang terbuka luas ditawarkan untuk guru semenanjung. Sebaliknya,
guru semenanjunglah yang terpaksa dihantar untuk menyeberangi Laut China
Selatan bagi memajukan dan menaik taraf guru-guru tempatan di kedua buah negeri
ini.
Sungguhpun begitu,
guru dari Semenanjung yang baru menamatkan pengajian di universiti atau institusi pendidikan, yang
dihantar mengajar di Sabah dan Sarawak, sejurus selepas tiga atau lima tahun,
mereka akan memohon pulang ke Semenanjung dan diganti guru baru. Justeru
menyebabkan dua negeri itu, terus ketinggalan kerana mereka sentiasa menerima
guru baru yang kurang berpengalaman, manakala guru berpengalaman pulang ke
tanah tumpah darah mereka di semenanjung.
Realitinya, bagi
guru tempatan yang berpengalaman dan cemerlang pula, kebanyakkannya ditawarkan
ke jawatan yang lebih tinggi seperti pegawai pelajaran, pengetua, guru besar,
dan penolong kanan sedangkan sepatutnya mereka melanjutkan kursus pendidikan
untuk menjadi guru pakar. Seharusnya, kepakaran itu diperturunkan menerusi
program mentor mentee untuk mendidik guru muda yang dengan sendirinya pada masa
hadapan akan berkembang dan mewujudkan lebih ramai guru pakar untuk subjek
kritikal di kedua-dua negeri terbabit. Kehadiran guru pakar dari Semenanjung
juga sebenarnya akan membuka ruang kepada guru tempatan menimba ilmu dan
pengetahuan daripada mereka untuk melahirkan pelajar cemerlang.
Jika kita teliti,
guru dari Sabah dan Sarawak juga agak kurang yang menjadi pembuat soalan dan
pemeriksa kertas peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),
Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil
Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang sekaligus membataskan pengalaman
mereka menjadi guru pakar dalam bidang masing-masing.
Pengerusi
Jawatankuasa Bersama, Persatuan-Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, Wiliam Gani
Bina mahu lebih ramai anak tempatan di kedua-dua negeri ini, dilatih menjadi
guru bagi memastikan sektor pendidikan berkembang di negeri terbabit. Beliau
yang juga Presiden Kesatuan Sarawak (STU) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya
50 peratus pendidik Sabah dan Sarawak meliputi anak tempatan direalisasikan
segera. Beliau juga mencadangkan penubuhan dua IPG baru di Sarawak untuk
melatih lebih ramai guru muda untuk mengisi kekosongan yang ada dan
mencadangkan pengambilan guru di kedua negeri berkenaan.
Namun, Yang
Dipertua Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Bumiputera
Sabah (P4SBS), Hamid Abdul Rahmat, pula berpendapat Sabah dan Sarawak masih
memerlukan guru dari negeri lain sejajar gagasan 1 Malaysia, apatah lagi jika ia
menyumbang kecemerlangan pelajar. Berhubung dengan membina Institut Pendidikan
Guru (IPG) Baru di Sabah dan Sarawak, Kementerian Pelajaran Malaysia
berpandangan tiada keperluan buat masa ini, kerana IPG sedia ada masih berupaya
melatih bakal guru untuk keperluan pendidikan Negara. Selain itu, pembinaan
sesebuah IPG tidak hanya khusus untuk masyarakat setempat, tetapi menjurus
kepada memenuhi keperluan pendidikan guru bagi seluruh Negara. Oleh itu, faktor
lokasi IPG dibina di Sarawak dan penubuhannya dilihat tidak begitu kritikal
dalam hal ini,
Latihan guru pula,
merupakan suatu usaha yang berterusan yang dilaksanakan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia. ‘Sudah tiba masanya kerajaan menggandakan usaha untuk
melahirkan guru yang berkualiti dan mencukupi supaya mereka dapat ditempatkan
di pedalaman dan luar Bandar’, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana
Menteri ini berkata, ia selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat
global, keperluan semasa serta gagasan 1 Malaysia demi merealisasikan apa yang
digariskan dalam petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Pelajaran. Justeru, satu
dasar penempatan guru yang responsif kepada keperluan rakyat perlu disediakan’
katanya lagi, semasa berucap merasmikan Persidangan Kajian Semula Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP).
Dalam situasi yang
ideal, penempatan guru tempatan bagi sesebuah negeri mungkin menjadi satu
kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu keperluan guru. Pemilihan anak tempatan
Sabah dan Sarawak untuk menjalani latihan IPG di Semenanjung seperti amalan
sekarang, harus dilihat sebagai satu perkara yang positif khususnya bagi anak
tempatan ini untuk menimba pengalaman dan
pendedahan yang amat bermakna dalam pembangunan profesionalisma keguruan
mereka sendiri. Sejajar dengan matlamat gagasan 1 Malaysia yang diperjuangkan
oleh kepimpinan Negara, dari aspek jangka panjang, Kemenerian Pelajaran Malaysia
berpandangan bahawa bagi memastikan lebih ramai guru tempatan terlatih di Sabah
dan Sarawak, minat golongan belia tempatan perlu terus dipupuk untuk menyertai
profesionalisme keguruan.
Tambahan pula,
bagi guru yang telah dihantar ke Sabah dan Sarawak, kerajaan akan menimbangkan
untuk mewajibkan semua guru bertugas di kawasan pedalaman antara tiga hingga
lima tahun daripada tempoh perkhidmatan mereka. Timbalan Perdana Menteri, Tan
sri Muhyiddin Yassin berkata kumpulan sasaran yang akan menyahut cabaran itu
disasarkan kepada guru-guru yang masih belum bekeluarga. Katanya, langkah itu akan
menjadi dorongan dan cabaran baru buat warga pendidik untuk bertugas di kawasan
pedalaman di atas dasar khidmat sosial kepada Negara. Beliau berkata, cadangan
itu, bertujuan mengatasi masalah penempatan guru di kawasan pedalaman yang
menjadi salah satu cabaran besar yang dihadapi Kementerian Pelajaran pada masa
ini. Dalam tempoh 30 tahun perkhidmatan, mungkin antara tiga hingga lima tahun
dari tempoh itu, mereka perlu memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman. Ini
sebagai satu kewajiban, bukan sebagai satu pilihan kata Tan Sri Muhyiddin,
sewaktu ditemubual dalam rancangan Agenda Awani yang disiarkan oleh Stesyen
televisyen Astro.
Kementerian juga
memberi pelbagai insentif untuk mengekalkan guru berpengalaman di pedalaman. Kementerian
Pelajaran Malaysia, melaksanakan pelbagai strategi termasuk menempatkan suami
isteri di sekolah yang sama atau berhampiran di Sabah dan Sarawak. Semasa
mengisi borang penempatan guru secara online juga, guru-guru pelatih diingatkan
dalam aku janji untuk tidak mengaitkan status perkahwinan dengan sebarang isu penempatan
yang telah ditaqdirkan untuk berkhidmat pada masa akan datang.
Di samping itu, pemberian elaun Khas mengikut Lokasi Tahap
Kesusahan (EKMLTK) diberikan sebagai salah satu insentif unuk mereka yang telah
berkhidmat jauh dari Tanah Air dan sebagai salah satu pengiktirafan kerajaan
terhadap pembangunan pendidikan pelajar pedalaman dan luar Bandar seluruh
Negara. Kerajaan sebenarnya telah menyediakan beberapa bentuk galakan untuk
guru bertugas di kawasan pedalaman seperti elaun sara hidup maksimum RM 1500
sebulan.
Sungguhpun begitu,
Kementerian Pelajaran Malaysia berpandangan, bahawa faktor siapa dan dari mana
asal negeri guru itu, tidak begitu penting. Walau di sekolah mana pun mereka
ditugaskan baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, apa yang lebih
penting adalah komitmen dan profesionalisme guru yang jitu terhadap tugas dan
tanggungjawab yang diamanahkan khususnya dalam mendidik demi melakar masa depan
yang lebih cemerlang buat anak bangsa.
Justeru,
Kementerian Pelajaran Malaysia dan Bahagian Pendidikan Guru perlu bijak
merancang tindakan berkesan dalam melatih guru setiap tahun mengikut
pengkhususan dan keperluan guru bagi memenuhi permintaan baru dan penggantian
guru bersara pada masa hadapan. Faktor ini membantu masalah kekurangan guru.
Selain itu, bagi
menyelesaikan masalah jumlah yang sepatutnya dihantar ke luar Bandar tidak
menepati nisbah yang ditetapkan, kia haruslah melihat kepada punca utama.
Pertama, disebabkan pengambilan ramai guru pelatih perempuan. Ramai di kalangan
guru pelatih perempuan, tidak dapat dihantar ke luar Bandar seperti yang dirancang
kerana satus perkahwinan. Hal ini kerana guru perempuan diberi keutamaan dan
kelonggaran untuk mengikut suami. Oleh itu, ramai guru pelatih perempuan yang
merancang kahwin awal bagi mengelak dihantar ke pedalaman termasuk kawasan
tertentu di Sabah dan Sarawak. Selain itu, ramai di kalangan professional lain
juga, suka memilih calon isteri dari kalangan guru kerana faktor tertentu,
antaranya seperti kerja separuh hari dan cuti sekolah panjang. Kementerian
harus menangani isu ini segera iaitu dengan menambahkan bilangan guru pelatih
lelaki. Dalam keadaan permohonan berlebihan kini, masalah memilih guru pelatih
lelaki tidak rumit,iaitu dengan memastikan syarat akademik yang diperoleh,
tidak di bawah syarat minimum ditetapkan.
Punca yang kedua
ialah faktor pengaruh. Kebanyakannya guru baru, menggunakan hubungan atau
‘kabel’ untuk mempengaruhi penempatan yang mereka inginkan. Campur tangan pihak
berpengaruh menyebabkan perancangan asal menempatkan guru terpaksa dirombak semula.
Malah, ada pelatih yang sudah mendapat penempatan, tetapi kerana kuat hubungan kabelnya,
penempatan asal di luar Bandar itu ditarik balik dan digantikan penempatan baru
di Bandar. Bagi menangani masalah kabel, ia dapat dilaksanakan dengan dua pendekatan.
Guru pelatih perlu diberi kesedaran mengenai tanggungjawab sosial sebagai
seorang guru. Perkhidmatan mereka selama beberapa tempoh tertentu diperlukan di
sekolah pedalaman. Syarat bertulis dimasukkan di dalam borang penempatan,
bahawa guru boleh dihantar ke mana-mana saja untuk tempoh beberapa tahun.
Mereka tidak boleh menolak dan ia bukan suatu pilihan, malah berkewajiban untuk
menabur khidmat bakti seperti kata Timbalan Perdana Menteri dalam akbar utusan
bertarikh 2 Mac 2010 yang lalu.
Pihak yang
mempunyai kuasa dan pengaruh hendaklah dilarang sama sekali menggunakan
pengaruh serta kedudukan untuk mencampuri hal ehwal penempatan guru baru. Hal
ini termasuk pembabitan tokoh politik dan pegawai dalam Kementerian Pelajaran
daripada yang rendah sampailah ke peringkat paling tinggi. Perkara ini sukar
dilaksanakan namun tidak mustahil. Justeru, Kementerian Pelajaran hendaklah
mencari pendekatan yang bijaksana dan tegas. Cara yang praktikal adalah dengan
mengamalkan kaedah penempatan guru baru secara telus dan terbuka. Sebarang
rayuan tidak diterima kecuali kes yang munasabah akan diberi pertimbangan.
Namun, ia mestilah mengikut prosedur yang sepatutnya iaitu melalui panel rayuan
khas, yang ditubuhkan untuk mempertimbangkan kes rayuan, bukan budi bicara
orang tertentu. Dasar tegas mengikut prosedur yang ditetapkan akan mewujudkan sistem
penempatan yang adil, sekali gus dapat mengatasi masalah kekurangan guru di
sekolah tertentu di pedalaman. Tanpa tindakan drastik, masalah kekurangan guru
akan berterusan tanpa penghujung.
Bagi memastikan
profesionalisme pendidikan guru di Sabah dan Sarawak berada di landasan yang
betul dan dijamin kualitinya, pihak kementerian perlu menyediakan pelbagai
kemudahan dan mewajibkan bakal guru terlatih menjalani pelbagai kemahiran
baharu sesuai dengan arus globalisasi dan keperluan kini. Guru professional juga
berusaha untuk meningkakan profesionalisme perkhidmatan mereka dengan mengikuti
kursus-kursus pendidikan yang perlu diperbanyakkan di Sabah dan Sarawak.
Institusi
pendidikan pula, perlu melahirkan guru professional yang meletakkan
tanggungjawab dan amanah yang dipikul dihadapan mendahului kepentingan
peribadinya dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggannya
iaitu murid. Timbalan Perdana Menteri mengatakan, ’jika semua hendak
ditempatkan di kawasan Bandar, tidak ada yang bersedia berkorban mendidik
anak-anak di pedalaman, maka ia adalah satu kepincangan dalam sisem pendidikan.
apa yang lebih penting adalah kesungguhan dan kesediaan warga pendidik untuk
berkorban demi anak bangsa. Guru inilah yang dilahirkan dalam IPG iaitu guru
yang bersedia berkhidmat walau dimana mereka ditempatkan seperti kata pepatah,
dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke daratan menjadi gunung, dicampak ke
langit menjadi bintang yang menerangi dan memberikan manfaat pada sekitarnya.
No comments:
Post a Comment